Balqis Jazimah Zahari 

 

Ipoh: Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) menyantuni dan menyerahkan sumbangan kepada ahli keluarga Allahyarham Mamat Khalid hari ini.

Pengerusinya, Zakaria Abdul Hamid hadir menyampaikan sumbangan kepada balu Allahyarham, Hasmah Hassan di kediaman mereka di Taman Ipoh Jaya Timur 1, di sini.

 Zakaria berkata, dia mewakili Finas mengucapkaan takziah kepada keluarga pengarah dan penerbit yang disanjungi itu.

"Sepatutnya saya datang semalam tetapi ketika itu saya berada di Pahang jadi saya terpaksa tangguh. Saya mewakili Finas mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham,'" katanya pada sidang media selepas menziarahi keluarga Allahyarham.

Menurut Zakaria, pemergian arwah disifatkan sebagai kehilangan sebutir permata dalam industri.

"Sebagaimana yang kita sedia maklum, Allahyarham Mamat Khalid ini adalah sebutir pertama dan bintang yang memang susah kita hendak cari ganti.

"Karya Abang Mamat ini adalah satu karya yang agak unik, jika kita tengok filem iaitu bagaimana dia mengembalikan nostalgia cerita di perkampungan dan sebagainya,'" katanya.

Zakaria berkata, mungkin ada segelintir mempertikaikan hasil kerja dan karya arwah yang sebenarnya unik dan tiada tolok banding.

''Mungkin ada orang mempertikaikan seperti yang pernah saya dengar filem bodoh dan sebagainya, tetapi sebenarnya karya yang ditunjukkan adalah karya yang begitu terkesan kepada masyarakat.

"Abang Mamat menampilkan kerja dan penggambaran di kawasan kampung, tidak perlu menonjolkan banglo yang gah, kereta mewah atau pelakon cantik yang mempunyai jutaan pengikut tetapi dia tetap dapat menerbitkan sebuah filem yang 'box office'," katanya.

ZAKARIA (kiri) menyerahkan sumbangan kepada balu Allahyarham Mamat Khalid. FOTO Balqis Jazimah Zahari 
ZAKARIA (kiri) menyerahkan sumbangan kepada balu Allahyarham Mamat Khalid. FOTO Balqis Jazimah Zahari 

Dalam masa sama, Zakaria beranggapan Mamat Khalid juga perlu dihargai kerana banyak mencungkil bakat yang agak luar biasa dan bakat daripada orang kampung.

"Beberapa watak seperti Pak Jabit dan sebagainya, yang mana satu watak dan karakter yang mempunyai nilai yang tersendiri.

''Ini yang sebenarnya kita terhutang budi kepada Abang Mamat kerana mencungkil bakat yang kita tak sangka menjadi satu bakat besar telahpun diangkat oleh Abang Mamat,'' katanya.

Sementara itu, Hasmah menzahirkan rasa terima kasih kepada pihak Finas yang sudah beberapa kali tampil memberi bantuan.

''Finas sebelum ini pernah datang dua kali iaitu ketika Abang Mamat sakit di hospital. Terima kasih Finas yang menghargai kerja-kerja seni dan orang yang terbabit dalam seni,'' katanya..

Semalam, media melaporkan Mamat Khalid meninggal dunia akibat serangan jantung di Hospital Slim River, Perak, awal pagi hari ini.

Mamat Khalid pengsan di restorannya, Sarang Art Hub di Tanjung Malim, Perak sebelum dikejarkan ke hospital dan disahkan meninggal dunia.

Mamat Khalid meninggalkan seorang isteri, Hasmah Hassan dan lima anak. 

Mamat mendirikan rumah tangga dengan dengan isteri, Hasmah Hassan pada 12 April 1987 dan dikurniakan lima cahaya mata iaitu Mohd Khalid Zaffa, Nor Sara, Mohd Khalid Adam, Mohd Khalid Amen dan Nur Hassanan.

Antara karyanya yang paling popular ialah Hantu Kak Limah, Zombie Kampung Pisang, Man Laksa, Rock Oo, Rock Bro, 16 Puasa, 17 Puasa, 18 Puasa Di Kampung Pisang dan banyak lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 Oktober 2021 @ 6:54 PM