Balqis Jazimah Zahari

Ipoh: Sebagai 'hadiah' buat Allahyarham Mamat Khalid, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) mempelawa anak Allahyarham, Mohd Khaled Amen, 25, untuk meneruskan pembikinan filem berjudul Pasir Salak Pasir Berdarah yang tidak sempat disiapkan Mamat.

Pengerusinya, Zakaria Abdul Hamid berkata, sekiranya Khaled Amen berminat, pihaknya boleh mempertimbangkan dana untuk membiayai filem berkenaan.

"Skrip filem itu sudah siap sejak 2017, cuma penggambaran belum dimulakan. Kita mempelawa Khaled Amen untuk berbincang bagaimana cara dan kaedah untuk kita membantu pembikinan filem itu. Penggambaran filem epik itu memerlukan perbelanjaan kira-kira RM4 juta,'' katanya.

Zakaria berkata, jika keluarga Allahyarham bersetuju dan Khaled Amen bersedia, penggambaran boleh dimulakan tahun depan.

"Dana untuk tahun ini sudah digunakan, tetapi apabila kita buka lagi tahun depan, kita boleh mempertimbangkan dana sekiranya Khaled Amen bersiap sedia menyiapkan filem itu," katanya.

Sementara itu, balu Allahyarham, Hasmah berkata, Mamat pernah memberitahu mengenai pembikinan filem itu yang mempunyai tanggungjawab agak berat.

''Epik tu, (Pasir Salak Pasir Berdarah) dia kata tanggungjawab itu berat," katanya.

Hasmah berkata, ketika menyiapkan skrip filem itu, Mamat amat mementingkan perkara seperti kostum, prop dan seninya.

"Dia mahu ia sempurna. Dia tak mahu nanti orang mempersoalkannya dan tidak mahu ia kelihatan seperti produksi yang murah," katanya.

Menurutnya, melalui filem itu juga Allahyarham berhasrat mahu menghasilkan filem yang turut mengetengahkan 'warrior' atau pahlawan tempatan.

''Dia nak ketengahkan yang kita juga ada pahlawan dan jangan tengok Samurai saja. Kita juga ada seni bela diri kita sendiri. Jadi dia dah kumpulkan orang untuk buat dan memang tak kesampaian. Hanya dia yang tahu macam mana,''katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Oktober 2021 @ 2:29 PM