Jurey Latiff Rosli.
Jurey Latiff Rosli.
Najiy Jefri

Kuala Lumpur: "Kerana nila setitik, rosak susu sebelanga."

Ini luahan penerbit dan pengarah, Datuk Jurey Latiff Rosli apabila syarikat produksi miliknya, World Evolution Brain Malaysia Sdn Bhd yang kini menjalani penggambaran di Lenggong, Perak turut menerima tempias buruk gara-gara sebuah syarikat produksi yang melanggar prosedur operasi standard (SOP) di negeri itu.

Jurey berkata, sebagai penerbit dan pengarah dia agak terganggu kerana timbul tohmahan yang mengatakan pasukan produksinya turut tidak mematuhi SOP yang ditetapkan.

"Setakat ini lokasi penggambaran Tok Guru berjalan lancar dan esok adalah hari terakhir penggambaran di sini. Semua pasukan kami mengikut garis panduan yang ditetapkan selain mempunyai Pegawai Protokol Produksi (PPP) yang dilantik Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas). Malah kami sentiasa memberikan kerjasama baik ketika pihak penguasa Finas datang ke set penggambaran. Ketika isu sebuah syarikat produksi melanggar SOP semasa menjalani penggambaran di Perak, kami juga turut disiasat tapi kami tak bimbang sebab ada PPP dan mempunyai buku log di set penggambaran.

"Saya faham walaupun ada PPP dan mengikut segala SOP yang ditetapkan tapi kita tak boleh jangka dalam perjalanan menghabiskan baki penggambaran, tiba-tiba mungkin ada kru yang positif Covid-19 ketika isi minyak kereta atau keluar membeli barang. Namun apa yang menjadi kesalahan adalah apabila tiada sikap tanggungjawab dalam diri. Sepatutnya pihak produksi perlu peka dengan kesihatan kru mereka. Jika ada yang positif, mereka sepatutnya hentikan penggambaran dan menjalani kuarantin di sana selain jangan membawa wabak ini ke tempat lain," katanya.

Menurut Jurey, peranan PPP amat penting di set penggambaran supaya dapat mengelakkan wujudnya kluster di lokasi penggambaran.

"Apabila tiada PPP keadaan akan menjadi huru-hura kerana mereka tidak tahu apa langkah awal untuk mengatasi masalah ini. PPP yang dilantik oleh Finas ini mereka lebih tahu apa tindakan yang patut diambil segera. Tapi malangnya isu yang berlaku di Kuala Kangsar mungkin disebabkan tiada PPP sekaligus timbul isu kru lari meninggalkan lokasi dan membawa wabak ini ke Kuala Lumpur.

"Bagi saya, isu sebegini tidak akan terjadi jika pihak produksi itu mempunyai PPP dan mematuhi SOP. Kalau ada kru yang positif, mereka patut menjalani kuarantin di sana dan menyambung semula penggambaran selepas itu, tapi sebaliknya yang berlaku," katanya.

Semalam, Harian Metro melaporkan Presiden Pertubuhan Industri Kreatif Digital Malaysia (PIKDM) Mohd Dean Lau Abdullah mempersoal bagaimana produksi boleh balik Kuala Lumpur selepas didapati tujuh orang dalam produksi sudah dijangkiti Covid-19.

Dia juga mendakwa terdapat antara mereka yang terbabit sengaja memberi info tidak benar kepada pegawai Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) apabila disoal semata-mata untuk melepaskan diri.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 Oktober 2021 @ 3:19 PM