FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Oleh Ridzuan Abdul Rahman


Kuala Lumpur: Penerbit dan pengarah drama akur dengan arahan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) yang meminta mereka lebih proaktif dalam perancangan kerja-kerja penggambaran bagi mengekang penularan Covid-19.

Ia berikutan kes positif mula dikesan dari aktiviti penggambaran dalam tempoh dua minggu lalu membabitkan beberapa produksi.

Pengarah Nuad Othman yang kini mengarahkan drama Kita Buat Sehabis Baik di Terengganu berkata, pasukan produksinya sentiasa mematuhi syarat-syarat yang ditetapkan Finas.

"Kami sentiasa ambil langkah berhati-hati. Setiap pelakon tambahan yang terbabit dengan drama ini akan diambil suhu sebelum memasuki set.

"Drama ini adalah kisah pengakap yang membariskan ramai pelakon remaja berusia belasan tahun. Pernah terjadi salah seorang daripada mereka demam. Saya memang takut perkara tak elok berlaku dan tak benarkan dia datang ke lokasi. Saya tukar buat babak lain dulu," katanya.

Nuad berkata, dia tidak mahu mengambil risiko, lebih-lebih lagi sudah agak lama mereka tidak dibenarkan melakukan penggambaran sebelum ini.

"Bila sudah diberi kebenaran kita sepatutnya ikut. Saya terkejut bila dapat tahu ada kes positif membabitkan pelakon dan kru di lokasi. Jika kerajaan suruh hentikan penggambaran semula, kita akan susah. Jadi, saya nasihatkan ikut SOP (prosedur operasi standard) supaya semua orang boleh cari makan. Kalau tak ikut juga, memang salah kita," katanya.

Pengarah dan penerbit Shuhaimi Lua Abdullah yang kini mengarahkan drama Epilog Aku Yang Kau Gelar Isteri turut menyokong saranan Finas itu.

"Apa yang dilakukan itu baik. Namun jangan hanya kerana satu dua produksi bermasalah, semua turut terpalit sama dan dihukum.

"Finas kena aktif lagi buat pencegahan seperti melawat lebih kerap ke lokasi dan bukannya terus jatuhkan hukuman. Sebagai penerbit dan pengarah, saya amat pentingkan SOP. Pasukan produksi dan pelakon saya kena jalani ujian suhu dan penjarakan fizikal di lokasi penggambaran. Syukur, tiga drama yang sudah dibuat tiada masalah," katanya.

Sementara itu, pengarah Eoon Shuhaini berkata, dia sering mengingatkan pelakonnya supaya sentiasa mandi setiap kali tiba di rumah.

"Mereka juga kena sentiasa ada cecair pembasmi kuman di tangan dan kalau tiada apa-apa urusan penting jangan keluar melepak di mana-mana. Mereka kena disiplinkan diri.

"Namun, banyak juga dalam kalangan kita yang tak berdisiplin. Mereka anggap pandemik Covid-19 tak betul, tapi bila dah kena baru tahu.

"Saya risau kerajaan akan kenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) semula dan kalau itu berlaku, menyesal pun tiada guna," katanya yang baru tamat penggambaran telefilem Signal Sebelah Hati. Terdahulu, Pengerusi Finas, Zakaria Abdul Hamid melahirkan rasa terkilan apabila kes positif mula dikesan dari aktiviti penggambaran baru-baru ini.

Dia juga sudah mengarahkan unit penguatkuasa Finas memantau keadaan serta mengemukakan fakta kes dan saranan tindakan untuk Finas memutuskan tindakan seterusnya.

Tiga pelakon drama bersiri Kiblat Yang Hilang iaitu Sweet Qismina, Farisha Irwayu dan Laila Nasir disahkan positif Covid-19 selepas menjalani penggambaran drama itu di Hulu Langat, Selangor awal bulan ini.

Kemudian penggambaran filem Tariandi di Kuala Kangsar, Perak yang membabitkan Sweet turut menyaksikan seorang lagi pelakon, Akif Halqi serta empat kru positif Covid-19.

Seramai 41 kru serta pelakon filem itu menjalani kuarantin di sebuah hotel di Ipoh. Sebelum itu mereka ditempatkan di Pusat Kuarantin Kolej Sains Kesihatan Bersekutu, Ulu Kinta, Perak sejak Rabu lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 April 2021 @ 3:43 PM