NUBHAN bebas Covid-19.
NUBHAN bebas Covid-19.
Georgie Joseph


Kuala Lumpur: Penyanyi Nubhan Ahamad, 35, bersyukur dia tidak mengalami gejala pasca Covid-19 yang teruk selepas sembuh dari virus itu, baru-baru ini.

Nubhan atau nama sebenarnya Ahmad Nubhan Ahamad berkata, dia percaya ia disebabkan dia sudah lengkap dua dos vaksin lebih dua bulan lalu.

"Syukur, kesihatan saya kembali pulih segera selepas bebas dari virus itu pada 26 September lalu. Tiada simptom pasca Covid-19 teruk yang dirasai sekarang.

"Sebelum ini, ada rakan bercerita kesan selepas sembuh agak teruk termasuk mengah. Ini kerana dia belum lengkap divaksin atau baru mendapat satu dos saja.

"Sewaktu disahkan positif, mujur saya cuma berada pada tahap dua. Doktor cakap keadaan saya stabil, paru-paru okay, darah dan oksigen juga normal," katanya.

Bagaimanapun, penyanyi yang dikenali dengan lagu Ada Untukmu itu mengakui emosinya agak terganggu sewaktu mendapat tahu dirinya positif virus itu. Paling ditakutinya adalah keluarga turut dijangkiti.

"Saya sangat lega apabila diberitahu mereka negatif. Sewaktu menjalani kuarantin di sebuah hotel di ibu kota, saya sebenarnya agak tertekan apabila terpaksa bersendirian.

Walaupun saya bukanlah di tahap kritikal, tapi bagi saya jangkitan itu banyak memberi kesan. Ia bukan saja mengganggu banyak kerja, tapi rasa risau mengenai jangkitan itu sangat terasa," katanya.

Pada 16 September lalu, Nubhan disahkan positif Covid-19. Sebelum itu, kakaknya, Faizah dan abang ipar, Mohd Nor Hussin turut positif virus itu pada 2 Ogos lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 Oktober 2021 @ 3:21 PM