AG Coco.
AG Coco.

Kuala Lumpur: Penerbit muzik dan gitaris, AG Coco menulis ciapan menjelaskan dengan terperinci ciapannya yang disalah tafsir oleh seglintir netizen dan heboh di Twitter sejak semalam.

Dalam hantaran terbaharunya, AG juga memohon maaf kerana ciapannya itu mengundang kemarahan banyak pihak.

"Maaf atas kekhilafan aku yang mengundang kemarahan semua orang dengan cara 'tweet' aku.

"Aku cuma nak sebarkan kesedaran supaya kita semua lebih berhati-hati dan sekali lagi, mohon maaf atas apa yang aku katakan," tulisnya.

Di platform media sosial itu juga, AG turut berkongsi hasratnya untuk pulang ke kampung halaman di Kedah dan bertemu dengan ibu bapanya.

"Sebenarnya, maksud aku, berkelah beramai-ramai ini kalau jadi punca kes naik balik, kita kena ulang lagi 'lockdown'. Jadi, lagi lama tak dapat jumpa ibu bapa.

"Ibu bapa aku pun di Kedah dan lama tak boleh jumpa, tak dapat raya macam dulu. Aku pun nak balik, tapi masih tak boleh," tulisnya.

Semalam, AG menulis ciapan yang dianggap sebagai sindiran kepada mereka yang keluar beriadah di kawasan rekreasi selepas kerajaan membenarkan rentas daerah di dalam Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.

"Nampak macam ramai betul yang rindu sungai dan laut daripada ibu bapa sendiri. Bukan apa, kalau pergi tengok ramai sangat berkelah, elak sajalah.

"Takut ibu bapa pula yang datang tengok kita nanti," tulisnya.

Ciapan itu menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan netizen dan menganggap ciapan AG itu adalah ciapan yang kurang pintar.

"Kalau pandai main gitar, kau 'tweet' pasal gitar saja. Yang lain tak payah bang, nampak bebal," tulis salah seorang pengguna Twitter.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 September 2021 @ 3:33 PM