Zamani kekalkan Aalan selaku pengurus. FOTO ZIME Production
Zamani kekalkan Aalan selaku pengurus. FOTO ZIME Production
Ridzuan Abdul Rahman


SELEPAS mendiamkan diri buat seketika sebaik tamat program Gegar Vaganza 5 (GV5), Zamani Ibrahim mengakhiri kemelut pengurusan dirinya apabila tampil dengan kenyataan rasmi berkenaan siapa pengurusnya yang sebenar.

Zamani, 47, berkata, tindakan ini dibuat bagi mengelakkan salah faham yang boleh menganggu gugat kariernya pada masa hadapan.

"Terima kasih buat semua yang menyokong terutama sepanjang saya menyertai GV5. Saya ingin menjelaskan kerjaya, jadual dan pengurusan saya buat masa ini diuruskan sepenuhnya oleh ZIME Production yang diuruskan bersama-sama dengan ahli keluarga saya serta

mengekalkan Aalan Ahmad selaku pengurus saya.

"Oleh yang demikian sebarang urusan termasuk urusan show dan lain-lain hendaklah dibuat secara terus ke ZIME Production ataupun melalui Aalan Ahmad.

"ZIME Production juga akan mengendalikan semua perkara yang berkaitan dengan ‘merchandising’ dan tidak melantik mana-mana pihak ketiga untuk membuat, mencetak ataupun menjual apa-apa ‘merchandise’ berkaitan dengan saya," katanya dalam kenyataan media dihantar kepada Harian Metro.

Menurutnya lagi, untuk masa ini pihak pengurusan sedang merancang untuk menubuhkan kelab peminatnya yang rasmi (Zamani Fan Club).

"Saya menyedari ramai peminat tertanya-tanya bagaimana cara untuk menyertainya. Sebarang maklumat akan diberitahu kelak di laman sosial rasmi saya iaitu Facebook: zamani slam official fanpage dan Instagram: zamanislam_official.

"Semoga dengan penjelasan ini, segala tanda tanya dan desas desus selama ini telah terjawab.

"Sebarang soalan tambahan boleh diajukan kepada pihak ZIME Production ([email protected]) atau boleh menghubungi pengurus saya, Aalan," katanya.

Sebelum ini, isu siapa pengurus sebenar Zamani menjadi perbualan hangat apabila bekas pengurus Slam, Johan Aziz mendakwa dirinya masih menguruskan Zamani manakala Aalan juga turut tampil dengan kenyataan yang sama.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Disember 2018 @ 6:47 PM