Naim Daniel.
Naim Daniel.
Norhayati Nordin


Kuala Lumpur: Pelakon dan penyanyi popular, Naim Daniel, 24, mengakui dia masih belum mempunyai teman wanita dan meminta didoakan jodoh buatnya.

Naim yang diusik vokalis Hujan, Noh Salleh dalam satu sidang media virtual baru-baru ini dengan bergurau mengatakan dia sudah bertunang, dibalas penyanyi lagu Sumpah ini dengan tenang.

"Saya belum bertunang lagi, masih solo. Calon pun tak ada. Tapi, bolehlah doa-doakan saya bertemu jodoh.

"Sekarang, saya seronok untuk terus menerokai kerjaya seni. Alhamdulillah, rezeki masih ada dan karya lagu saya juga diterima baik," katanya.

Naim yang dilihat sangat aktif di media sosial terutama dalam menyuarakan pendapat berkata dia memang bertekad mahu menyampaikan perkara baik dan positif saja.

"Pada masa sekarang, dengan penularan Covid-19 didapati ramai orang berhadapan tekanan dan kesempitan hidup. Jadi, perkara itu bukan sesuatu yang membanggakan.

"Justeru, bagi mereka yang aktif di media sosial kena ambil kira pelbagai aspek untuk sesuatu 'content' yang nak dibuat. Bagi saya sendiri, memang pilih sebarkan perkara yang baik, bermotivasi dan menyuntik semangat," katanya.

Naim atau nama sebenarnya Muhammad Naim Daniel Baharin, tak dinafikan cukup prihatin dengan keadaan dihadapi segelintir masyarakat yang berdepan kesempitan hidup akibat hilang pekerjaan kerana Covid-19.

Malah, ketika situasi 'kibar bendara putih' yang berlaku, Naim tampil menghulur bantuan dengan mengadakan aktiviti 'bank makanan' dan menghantar sumbangan dari rumah ke rumah keluarga yang memerlukan.

Katanya dalam satu temubual, dia sangat terkesan dan berasa simpati dengan nasib yang menimpa segelintir masyarakat di negara ini kerana terjejas teruk akibat Covid-19 yang masih belum reda dan akan berpenghujung.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 September 2021 @ 5:29 PM