Penyanyi, Naim Daniel. FOTO Aziah Azmee
Penyanyi, Naim Daniel. FOTO Aziah Azmee
Norhayati Nordin


Kuala Lumpur: Pelakon dan penyanyi popular, Naim Daniel akan terus meraikan 'perbincangan' di media sosial pada kalangan pengikutnya, termasuk sentiasa bersedia menerima apa saja kritikan yang diberikan.

Naim, 26, ditemui berkata sukar untuk dia mengatakan untuk bersikap 'tone down' pada tahun ini selepas dirinya didapati agak lantang bersuara di media sosial sejak beberapa tahun lalu terhadap pelbagai isu yang diketengahkan.

"Saya sentiasa percaya setiap apa yang kita sampaikan tak kira sesiapa saja, sudah tentu ada 'harga' yang perlu dibayar dan harganya itu haruslah berpatutan dengan apa yang kita cuba jual.

"Jadi, macam saya sendiri selepas mengambil kira dari apa yang dilakukan sebelumnya ketika bersuara di media sosial mengenai isu seperti kemanusiaan, politik termasuk masalah berkaitan sesiapa pun, selalunya pasti dibaca semula.

"Sebenarnya saya pun ada buat 'post mortem' (bedah siasat), setiap hujung tahun. Memang saya akan tengok semuanya semula. Apabila diperiksa balik, saya dapat lihat peningkatan kematangan diri dari 2020 lalu sehingga 2022, dan cuba 'keep track' (ikut laluan) benda itu," katanya.

Penyanyi lagu Sumpah ini berkata, baginya media sosial adalah tempat untuk berdiri teguh dengan apa yang dipercayai kerana kita tahu semua orang pun ada pendirian serta ideologi masing-masing.

Jelasnya, dia hanya menjadi diri sendiri dengan caranya.

Menurut Naim, sebagai individu yang mempunyai ramai pengikut di media sosial juga menjadi tanggungjawab kepadanya untuk bersuara.

Katanya, kalau berdiam untuk sesuatu perkara itu juga akan menjadi masalah.

"Apa yang pasti, setiap yang kita sampaikan itu sudah tentu ada orang yang menerima dan menentang. Malah, saya percaya orang yang menentang itu juga sebenarnya memberi kita teguran dengan mengambil positif.

"Jadi, saya tidak menghalang orang yang memberikan kritikan kerana sentiasa percaya mungkin Tuhan nak hantarkan teguran kepada kita dengan cara yang sebegitu," katanya.

Naim berkata, dalam pengaruh media sosial yang boleh dikatakan 90 peratus kehidupan masa kini tertumpu dengannya, ia sebenarnya berbahaya kerana terbuka kepada semua orang yang kita pun tidak mengenali siapa mereka.

Ujarnya, permainan media sosial ini bahaya dan perlu berhati-hati.

Terdahulu, Naim ditemui pada majlis sidang media penganjuran Konsert Patah Hati yang akan berlangsung di Zepp Kuala Lumpur pada 15 Mac depan, jam 8.30 malam yang menampilkan barisan penyanyi tanah air.

Selain Naim, penyanyi lain ialah Ernie Zakri, Noh Salleh, Aisha Retno, Nastia dan Insomniacks.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 January 2023 @ 7:20 PM