NAIM beli rumah contoh yang berkonsep minimalis.
NAIM beli rumah contoh yang berkonsep minimalis.
Norhayati Nordin


ATAS usaha gigih membina nama dan menjual bakat selama ini, penyanyi dan pelakon, Naim Daniel, 24, sudah mampu menarik nafas lega apabila berjaya memiliki aset peribadi iaitu rumah.

Naim kini sudah mendiami rumah yang dibelinya sebaik mendapat kunci pada Mei lalu.

Katanya, dia amat bersyukur dan sudah bersedia hidup sendiri kerana ibu bapanya menetap di Melaka.

"Selain kenderaan, apabila sudah ada rumah sendiri lagi 'privacy'. Ibu bapa saya pun taklah risau sangat apabila saya sibuk bekerja. Lagipun, usia saya pun dah makin meningkat.

"Bagi saya, kalau sudah ada rezeki boleh beli rumah, kenapa nak tangguh? Lagipun, rumah ini saya beli kerana tertarik dengan rekaan dan keluasannya. Apatah lagi, ia rumah contoh yang segala kelengkapan dalaman sudah ada.

"Saya cuma kena bawa masuk barang lain seperti pakaian dan pinggan mangkuk saja. Selebihnya semua sudah siap sedia dan konsep kediaman saya adalah minimalis yang mudah dikemas kerana tak banyak barang," katanya.

Menurut penyanyi yang popular dengan lagu Sumpah dan Sembah ini, dia memang menyimpan hasrat mempunyai kediaman sendiri.

Katanya, sama ada hidup bujang atau berkahwin, penting untuk memiliki rumah sendiri yang lebih selesa.

BELI rumah contoh dengan segala kelengkapan dalaman sudah pun tersedia.
BELI rumah contoh dengan segala kelengkapan dalaman sudah pun tersedia.

Berbicara mengenai kerjaya seninya, Naim berkata, dia bersyukur rezeki tidak putus.

Katanya, walaupun negara masih berhadapan penularan Covid-19, kehidupan tetap perlu diteruskan dengan mempelbagaikan kemahiran.

"Kalau fikir terjejas pendapatan, rasanya ada orang lain yang mungkin lagi hebat cabarannya daripada kita. Apa-apa pun, dalam situasi yang berlaku ketika ini saya sentiasa berjimat cermat. Sekadar beli apa yang perlu.

"Malah, saya juga lebih melihat ke arah positif apabila kita perlu tingkatkan usaha. Tak perlu menuding jari atau mencari salah sesiapa termasuk kerajaan. Ikut saja segala arahan dikeluarkan untuk keselamatan bersama," katanya.

Naim yang baru-baru ini muncul sebagai pengacara program Karok Ok di TV3 berkata, ia pengalaman baharu baginya dan ternyata bukan mudah juga.

Namun, mujur dapat bergandingan dengan penyampai radio dan pengacara, Sharifah Shahirah.

"Saya seronok dapat menggalas tugas sebagai pengacara. Walaupun mengemudi sebuah program hiburan santai, saya juga perlu berhati-hati dengan penggunaan ayat disampaikan. Saya tidak mahu mewujudkan cerita sensasi.

"Sepanjang penularan Covid-19 ini, banyak juga cerita sensasi dan kontroversi tercetus membabitkan golongan selebriti terutama perkongsian mereka di media sosial yang tular menyebabkan orang ramai tidak selesa.

"Memandangkan saya juga ada ramai pengikut di media sosial, tak dinafikan teliti untuk membuat perkongsian. Malah, saya selalunya berbincang dengan keluarga dan rakan untuk bertanya pendapat mereka sebelum memuat naik perkongsian di Instagram," katanya.

Menurut pelakon drama Pia ini, dia seboleh-bolehnya dia tidak mahu apa saja hantaran dibuat di media sosial akan mengguris perasaan orang lain.

Katanya, tidak semua benda yang kita suka, rang lain juga akan menyukainya.

"Saya kena peka dan sensitif dengan apa yang nak dikongsikan di media sosial. Apatah lagi, dalam keadaan sekarang ramai orang masih berjuang untuk keselamatan diri dan keluarga termasuk berhadapan pelbagai cabaran hidup masing-masing," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 Jun 2021 @ 6:10 AM