AZIZUL Ammar ketika hadir di PPV Universiti Malaya (UM).
AZIZUL Ammar ketika hadir di PPV Universiti Malaya (UM).
Najiy Jefri


Kuala Lumpur: Pelakon dan pengacara Azizul Ammar Abu Hassan atau Ammar mengenakan kostum adiwira popular, Superman ketika mendapatkan dos kedua vaksin Covid-19 di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Universiti Malaya (UM), di sini, semalam.

Ammar berkata, kostum terbabit dibeli di sebuah gedung pakaian terkenal pada 2019 dan akhirnya digunakan ketika menghadiri temu janji vaksinasi.

"Saya dah lama beli kostum ini tapi tak pernah pakai. Saya beli ketika ada jualan promosi. Jadi, saya fikir daripada simpan terlalu lama, lebih baik saya pakai ketika menghadiri proses vaksin dos kedua semalam. "Lagipun kostum Superman ini dapat meraikan hero-hero sebenar kita iaitu petugas barisan hadapan yang selama ini bertungkus-lumus dan bekerja keras untuk mengekang penularan wabak ini.

"Selain itu, saya juga cuba nak beri senyuman kepada setiap penerima vaksin yang datang pada hari temu janji mereka. Saya nak semua rasa seronok dan gembira," katanya.

Menurut Ammar, kostum Superman yang dikenakan mendapat reaksi positif daripada orang ramai yang hadir ke PPV UM semalam.

"Sebaik keluar dari kereta, tiba-tiba saya disapa seorang lelaki berbangsa Cina yang berasa seronok apabila 'Superman' turut mendapatkan vaksin.

"Kemudian apabila masuk ke dalam PPV, suasana bertukar jadi meriah serta ada yang nak bergambar sebab terkejut dengan kehadiran Superman," katanya.

Dalam masa sama, Ammar menyeru kepada semua pihak untuk mendapatkan vaksin Covid-19 sebagai satu ikhtiar untuk mengelakkan diri daripada dijangkiti wabak berjangkit itu.

"Alhamdulillah saya sudah lengkap dua dos vaksin jenis AstraZeneca. Saya harap kita semua dapat ambil vaksin sebagai satu ikhtiar. Kita perlu membantu diri kita dan masyarakat sekeliling supaya negara kembali pulih dan dijauhkan daripada wabak berbahaya ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 September 2021 @ 4:20 PM