Aishah
Aishah
Ridzuan Abdul Rahman


Kuala Lumpur: Penyanyi Aishah disahkan positif Covid-19 semalam dan kini dirawat di Hospital Ampang, di sini. 

Aishah, 56, atau nama sebenarnya Wan Aishah Wan Ariffin pada mulanya mengalami gejala demam panas dan semput.

Namun, selepas melakukan ujian swab RTK di sebuah pusat perubatan swasta, dia disahkan positif Covid-19.

Terdahulu, penyanyi yang popular dengan lagu Janji Manismu ini berkongsi hantaran video di Instagram berkaitan perkara ini.

"Positif Covid-19. Tolong doakan kami," tulisnya.

 Video berkenaan memaparkan Aishah menjalani ujian Covid-19 dilakukan seorang petugas kesihatan di kediamannya.

Dia seterusnya memuat naik gambar dirinya sedang menggunakan alat bantuan pernafasan. Keadaannya juga kelihatan tidak bermaya.

"Pengalaman naik ambulans dengan berbunyi siren. Doakan saya," katanya.

Aishah yang mempunyai masalah asma memaklumkan suaminya disahkan negatif, manakala dua anak lelakinya Armand Azhari, 28, dan Azhad Ahlami, 23, masih menunggu keputusan ujian swab.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 31 Ogos 2021 @ 1:00 PM