AISHAH.
AISHAH.
Georgie Joseph

Kuala Lumpur: Keadaan kesihatan penyanyi Aishah, 56, bertambah baik, namun mengalami jangkitan kuman pada badannya.

Aishah atau nama sebenarnya Wan Aishah Wan Ariffin yang dirawat di Hospital Ampang, di sini, akibat Covid-19 kini dilaporkan stabil dan paras oksigennya juga sudah meningkat.

Perkara itu disahkan presiden kelab peminatnya Aishah FC iaitu Dr Nazlin.

Nazlin berkata, penyanyi lagu Janji Manismu itu cuma perlu mengambil antibiotik dan terus berehat.

"Kak Aishah stabil, jangan risau. Hasil imbasan tomografi berkomputer (CT scan) ada menunjukkan jangkitan (kuman) dan dia perlukan antibiotik.

"Segalanya pasti okay. Hari ini pun stabil, bacaan oksigennya adalah 97 peratus," katanya.

Pada 30 Ogos lalu, Aishah disahkan positif Covid-19 dan dimasukkan ke Hospital Ampang untuk menjalani rawatan.

Dia yang mempunyai masalah asma pada mulanya mengalami gejala demam panas dan semput.

Sebelum ini, emosinya juga terganggu apabila paras oksigennya turun mendadak.

Ini ditambah apabila dia melihat seorang pesakit di hadapan katilnya dibawa ke Unit Rawatan Rapi (ICU) untuk ditidurkan.

Aishah dalam satu hantaran video, berdoa dan berharap dia tidak ditidurkan seperti pesakit itu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 September 2021 @ 4:06 PM