Syamel sentiasa doakan arwah umi.
Syamel sentiasa doakan arwah umi.
Najiy Jefri


Kuala Lumpur : "Tunggu kehadiran anakmu di pintu syurga."

Demikian luahan penyanyi Syamel ketika memberi penghormatan terakhir buat ibunya, Wan Faaizah Karim, 55, yang selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Alam Damai, di sini, jam 11 pagi hari ini.

Syamel atau nama sebenarnya, Syameel Aqmal Mohd Fodzly berkata, dia akan sentiasa mendoakan kesejahteraan Allahyarham ibunya.

"Alhamdulillah. Selesai pengebumian umi pada jam 11 pagi tadi di Tanah Perkuburan Islam Alam Damai. Rezeki perjalanan umi dipermudahkan. Berehatlah kesayanganku. Doaku akan sentiasa mengiringi mu wahai syurgaku," katanya.

Semalam, suami kepada penyanyi Ernie Zakri itu berkongsi khabar duka apabila ibu tercintanya menghembuskan nafas terakhir jam 10.09 malam selepas terpaksa ditidurkan berikutan masalah kekurangan oksigen dalam badan.

Allahyarham dirawat di sebuah pusat perubatan di ibu negara hampir sebulan lalu.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan Syamel menafikan ibunya dijangkiti Covid-19 dan tidak pernah mengalami masalah kesihatan serius, malah tidak pernah dimasukkan ke hospital sepanjang hayatnya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 Ogos 2021 @ 1:27 PM