SYAMEL
SYAMEL
Najiy Jefri


Kuala Lumpur: "Setiap kali terima panggilan daripada pihak hospital, saya sangat takut dan berdebar untuk mengetahui perkembangan terkini umi," kata penyanyi Syamel yang bimbang dengan keadaan kesihatan ibunya, Wan Faaizah Karim, 55, apabila terpaksa ditidurkan akibat kekurangan oksigen dalam badan.

Syamel berkata, sudah hampir dua bulan ibunya menerima rawatan di sebuah pusat perubatan, di sini. "Setakat hari ini bacaan oksigen dalam badannya menurun sehingga 55 peratus. Malah, doktor beritahu umi masih ditidurkan untuk mengehadkan pergerakan dan menstabilkan keadaannya yang mengalami sesak nafas," katanya ketika dihubungi.

Menurut Syamel, apa yang diharapkan kini adalah untuk melihat ibunya balik ke rumah.

"Tiada apa yang saya harapkan sekarang ini selain ingin melihat dia berada di rumah. Saya rindukan umi dan nak dia sihat seperti biasa," katanya.

Penyanyi lagu Lebih Sempurna itu juga reda tidak dapat melawat ibunya di hospital disebabkan situasi pandemik Covid-19 ketika ini.

Terdahulu menerusi laporan Harian Metro, Syamel menafikan ibunya dijangkiti Covid-19 dan tidak pernah mengalami masalah kesihatan yang serius dan ini pertama kali dia dimasukkan ke wad sepanjang kehidupannya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 Ogos 2021 @ 4:31 PM