Syamel dan isteri, Ernie bersama ibu bapanya pada majlis perkahwinan mereka.
Syamel dan isteri, Ernie bersama ibu bapanya pada majlis perkahwinan mereka.
Georgie Joseph


Kuala Lumpur: Penyanyi Syamel, 28, terpaksa menahan rasa rindu terhadap ibunya Wan Faaizah Karim, 55, apabila keadaannya masih belum menunjukkan sebarang perkembangan selepas dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU), baru-baru ini.

Syamel atau nama sebenarnya Syameel Aqmal Mohd Fodzly memaklumkan, mereka sekeluarga masih ternanti berita gembira dan berharap dapat bercakap dengan ibunya dalam masa terdekat.

"Keadaannnya (ibu) masih sama dan kami pun masih tidak dibenarkan melawat lagi. Dia memang masih ditidurkan dan bergantung kepada bantuan pernafasan.

"Doktor pun tiada cakap apa-apa lagi mengenai perkembangan keadaannya. Berharap juga, sekurang-kurangnya dapat bercakap menerusi panggilan video dengan umi.

"Rindu sangat dengan umi. Semoga Allah dengar doa-doa kita dan pemudahan urusan umi. Terima kasih atas jasa baik anda yang mendoakan," katanya.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan Wan Faaizah terpaksa ditidurkan akibat kekurangan oksigen dalam badan. Syamel juga memaklumkan ibunya sudah tiga minggu dimasukkan hospital sebelum dipindahkan ke ICU.

Mereka sekeluarga juga tidak pasti punca sebenar penyakit ibunya, namun menafikan ia disebabkan jangkitan Covid-19. Bahkan menurut Syamel, ibunya juga tidak pernah mengalami masalah kesihatan serius.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 Julai 2021 @ 11:50 AM