KEENA MENTOR
KEENA MENTOR
Ridzuan Abdul Rahman


Kuala Lumpur: "Untuk apa dia nak berpakaian seksi dan apa perlunya dia buat begitu?" kata penyanyi Keena Mentor mengulas mengenai tindakan seorang wanita yang berpakaian keterlaluan ketika mengambil suntikan vaksin di Pusat Pemberian Vaksin (PPV).

Menerusi rakaman video yang tular hari ini, wanita terbabit dilihat menanggalkan baju untuk menerima suntikan sehingga menampakkan pakaian dalamnya.

Keena berkata, tindakan ini sangat memalukan kerana wanita terbabit jelas tidak menghormati undang-undang.

"Tidak bolehkah dia berpakaian yang sesuai dan kena dengan tempat? Cubalah fikir tempat ini turut dihadiri oleh semua golongan termasuk warga emas.

"Dah pakai begini, dia mencolok mata petugas vaksin apabila terpaksa buka baju sehingga nampak pakaian dalam. Kejadian ini amat memalukan.

"Tindakannya juga mengundang bahaya terhadap diri sendiri. Sekiranya dia diganggu oleh mana-mana pihak, jangan salahkan sesiapa kerana itu kesalahannya sendiri," katanya kepada Harian Metro.

Keena yang sangat kecewa, turut meluahkan perasaannya menerusi perkongsian di media sosial.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 Ogos 2021 @ 5:24 PM