FOTO dipetik daripada IG Keena
FOTO dipetik daripada IG Keena
Norhayati Nordin


PELAKON dan penyanyi, Keena Mentor, menafikan dia membuat pembedahan muka dan badan untuk cantik.

Keena atau Suriana Abdul Wahab, 30, ketika ditemui berkata, dia tidak membuat pembedahan itu tetapi hanya menjalani rawatan laser muka di sebuah klinik kulit di ibu kota.

“Mana ada muka saya cantik pun? Namun, saya mengaku memang ada buat rawatan muka tetapi menggunakan laser dan bukan pembedahan.

“Malah, rawatan muka yang saya buat itu pun sekadar untuk membuang parut, bintik hitam dan jeragat. Itu saja” katanya.

Keena yang sering disogok melakonkan watak antagonis dalam drama dibintangi berkata dia juga tidak kesah dengan apa yang orang nak kata mengenai dirinya.

“Sebenarnya, saya sudah lali dengan pelbagai tuduhan termasuk pernah didakwa suntik botox. Sekarang, dikatakan pula saya membuat pembedahan di muka dan badan.

“Apapun, biarlah orang nak kata apa kerana demi Allah saya tidak buat pembedahan itu dan hanya jalani rawatan laser mengikut temu janji dengan pihak klinik,” katanya.

Menurut pelakon drama Aku Bukan Isteri Sempurna ini, dia juga tidak berkecil hati dengan segala dakwaan negatif yang dilemparkan pada dirinya.

“Saya tahu persaingan dalam industri hiburan tanah air kini sengit. Tetapi, saya masih waras untuk bersaing secara positif dan tak perlulah buat pembedahan semata-mata untuk cantik.

“Walaupun sedar nama saya tidaklah berada pada tahap popular tapi syukur hingga kini rezeki tak putus diterima,” katanya.

Pada awal pembabitannya dalam karier seni Keena pernah menyertai program Mentor musim ketiga di TV3 pada 2009.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 November 2017 @ 2:41 PM