Norhayati Nordin


Kini kebanyakan bintang program realiti TV lebih selesa memilih untuk dikenali peminat dengan nama sendiri tetapi tidak bagi pelakon dan penyanyi Keena Mentor.

Hampir tujuh tahun membina nama dalam industri seni, Keena cukup selesa apabila namanya sentiasa dikaitkan dengan program Mentor.

Pernah menjadi anak didik penghibur terkenal, Awie, bagi Keena, 29, Mentor adalah platform besar buatnya.

Bagaimanapun, anak bongsu daripada lapan beradik itu mengakui namanya belum kukuh untuk berdiri sendiri.

“Saya tidak pernah kisah jika sampai bila-bila harus dikenali peminat sebagai Keena Mentor. Bagi saya, penggunaan nama Mentor itu satu penghargaan.

“Tidak sedikit pun saya berasa malu atau segan apabila ada yang menegur dengan panggilan Keena Mentor. Bagi saya, nama itu sudah jadi satu jenama,” katanya.

Meskipun namanya tidak popular mana, Keena yang aktif berlakon dan menyanyi juga memaklumkan dia sudah lali berhadapan dengan cemuhan.

Pelbagai dakwaan tidak berasas pernah dilemparkan padanya terutama membabitkan raut wajah yang dikata mengambil suntikan botoks, pembedahan pinggul untuk seksi dan banyak lagi.

Namun, Keena atau Suriana Abdul Wahab tidak melenting atau mudah melatah dengan dakwaan berbaur negatif dilemparkan.

“Pada saya senang saja. Mulut tempayan mungkin senang ditutup tapi inikan mulut manusia. Jadi, biarlah apa yang mereka mahu katakan.

“Dalam soal ini, tiada guna marah atau melenting. Saya memang tidak pernah mengambil suntikan botoks untuk wajah,” katanya.

Keena berkata, dia ada melakukan terapi Platelet Rich Plasma (PRP) yang lebih selamat dan efektif dalam merawat pelbagai jenis kecederaan kulit.

Katanya, ia kaedah mencuci darah di mana dia perlu melakukan rawatan muka secara kerap, cuma terapi PRP harus lakukan setiap dua bulan sekali.

“Selain itu, saya mengambil suntikan vitamin C. Selebihnya, saya menjaga pemakanan harian,” katanya.

Menurutnya, dia mengguna pakai konsep diet sihat dan rajin melakukan senaman.

Berbicara mengenai penampilannya yang ada kala kelihatan seksi, Keena berkata dia memang gemarkan gaya yang tampak feminin.

“Saya suka muncul pada majlis dihadiri mengikut tema ditetapkan. Apa pun, saya selesa dengan pilihan gaya gaun labuh yang ringkas.

“Selain itu, saya juga selesa menggayakan seluar jean dan baju-T. Bagi saya, keselesaan adalah ciri utama diambil kira dalam pemilihan pakaian,” katanya.

Keena juga bersyukur rezekinya dalam sunia seni sentiasa ada sama ada berlakon dan menyanyi.

Katanya, tawaran diterima tidak putus cuma dari segi populariti dia akui perlu bekerja kuat lagi untuk membina nama supaya lebih dikenali.

“Ternyata bukan perkara mudah dan saya akui setiap selebriti mempunyai nasib berbeza. Begitu juga dengan saya yang setakat ini kalau diukur dari aspek populariti, masih lagi kurang.

“Apapun, saya takkan mudah berputus asa. Selagi ada ruang dan peluang, saya akan gigih berusaha hingga berjaya,” katanya.

Akan muncul dengan single Berani ciptaan Saari Amri, Keena juga sanggup menangguhkah perkahwinannya kerana masih belum berpeluang merasai nikmat populariti sebagai selebriti.

Katanya, dia mempunyai impian dan sasaran dalam karier. Justeru, menjadi impiannya untuk menjadi selebriti dikenali ramai.

Dalam lakonan, Keena juga tidak cerewet memilih watak. Kini satu lagi peluang rezekinya apabila melancarkan produk wangian jenamanya yang baru-baru ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 Jun 2016 @ 5:03 AM