KEENA Mentor. FOTO Nur Adibah Ahmad Izam
KEENA Mentor. FOTO Nur Adibah Ahmad Izam
Sudirman Mohd Tahir


PENYANYI, Keena Mentor yang mendakwa terkena sihir sejak tiga bulan lalu mengakui sudah sihat dan kini lebih mengingati Allah SWT.

Keena atau Suriana Abdul Wahab, 30, berkata, setiap hari dia memperbanyakkan berzikir kepada Allah SWT selain mengerjakan solat lima waktu.

"Saya manusia biasa dan tidak sempurna. Kerja macam saya ini, diakui kadang lupa tanggungjawab sebagai hamba Allah.

"Selepas sihat, saya kurangkan berlakon. Masa terluang, saya banyak berzikir kepada Allah. Saya berasa sangat tenang. Setiap hari buat perkara sama, ia jadi macam pendinding untuk diri," katanya kepada Harian Metro.

Keena yang juga bekas protege Datuk Awie dalam program Mentor 2009 reda dengan apa yang terjadi terhadap dirinya.

"Saya nak pesan kepada orang yang hantar atau amalkan perkara syirik ini, kalau betul niat nak matikan orang itu, teruskan. Jangan seksa dan biarkan menderita tanggung sakit.

"Tahun lalu saya kena juga hingga tidak boleh berjalan. Tidak sangka pula, awal tahun kena lagi. Kali ini, mulut penuh ulser, kahak berdarah dan haid berterusan tiga kali sebulan.

"Saya sorok perkara ini sebab ramai tidak percaya. Siapa pernah kena saja akan faham. Apa pun saya percaya Allah ada bersama orang yang teraniaya," katanya.

Menurut Keena, meski ramai beranggapan dia sengaja mereka cerita bagi menarik perhatian umum, dia ada bukti dan orang terdekat turut mengetahui.

"Buat apa saya nak reka cerita. Orang dekat dengan saya tahu kesengsaraan dialami. Saya ada bukti lebam di bahagian anggota badan.

"Cuma saya lupa nak ambil gambar masa muntah darah dan haid berterusan," katanya.

Keena juga berkongsi, sepanjang tiga bulan itu dia pergi berubat merata tempat antaranya, Baling di Thailand, Perak, Hulu Langat, Kampung Baru dan banyak lagi.

Perkembangan seninya, Keena bakal melebarkan sayap ke Indonesia pada Ogos ini bagi meneruskan kerjaya nyanyian dalam genre dangdut dan menggunakan nama baru Keena Prasista.

"Saya meneruskan amanah Allahyarham Julia Perez yang mahu saya menyanyikan lagu dangdut koplo. Saya sempat berjumpa arwah dua bulan sebelum dia meninggal dunia.

"Jadi, menerusi syarikat rakaman Rousing Muses Pictures Sdn Bhd, saya akan berhijrah ke sana secara perlahan-lahan. Sebagai permulaan, saya akan ke Kepulauan Riau dahulu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 April 2018 @ 12:21 PM