AMELIA Handerson melakonkan watak Cik Ayu.
AMELIA Handerson melakonkan watak Cik Ayu.
Sudirman Mohd Tahir


BERBEZA dengan penceritaan kisah kahwin paksa yang sering disajikan sebelum ini, syarikat penerbitan Suhan Movies mempersembahkan drama Cik Ayu Mee Sanggul yang memaparkan pengorbanan seorang janda muda yang mengahwini seorang duda tanpa ikatan cinta untuk menjadi ibu tiri kepada anaknya yang masih kecil dan memerlukan perhatian seorang ibu.

Idea asal dan skrip drama bersiri 16 episod yang diilhamkan oleh Nieza Nahar dan diarahkan Idora Abdul Rahman. Ia dibintangi Amelia Henderson dan Aqasha selaku teraju utama.

Naib Presiden Strategi Pembangunan Kandungan Hiburan Melayu Astro, Raqim Ahmad berkata, pihaknya selesa memilih genre komedi romantik atau 'rom-com' sebagai naratif penceritaan berdasarkan sambutan penonton.

"Berdasarkan pengalaman kami, secara umumnya sebahagian besar penonton tempatan menggemari drama yang ringan dan santai. Oleh itu, kami selesa memilih genre 'rom-com' sebagai naratif penceritaan yang menggerakkan drama terbaharu di Slot Megadrama ini kerana ia dekat dengan kelompok sasaran kami.

"Tema cinta dan kasih sayang yang diangkat menerusi drama ini juga tidak klise, justeru ia memiliki keistimewaan tersendiri dengan jalan cerita yang ringkas tetapi mengesankan.

Sungguhpun berunsur santai, drama ini juga sarat dengan mesej positif yang dapat memberi teladan sekali gus bakal mengheret emosi penonton untuk menyelami keindahan, kemanisan dan tangisan demi mencari kebahagiaan dalam sesebuah hubungan," katanya.

Sementara itu, Idora berkata, pengalaman mengarahkan drama Cik Ayu Mee Sanggul sewaktu musim pandemik Covid-19 dan fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dianggap sangat mencabar.

"Walaupun terpaksa menghadapi pelbagai kekangan, pengalaman ini amat bermakna dan menyeronokkan. Saya bertuah kerana dapat bekerja d

alam sebuah pasukan besar yang sanggup bersusah payah bersama dan saling berkongsi idea dan pandangan demi mendapatkan hasil yang terbaik untuk naskhah ini.

"Sebagai pengarah, saya juga amat gembira dengan keserasian yang berjaya dicipta oleh barisan pelakon terutamanya di antara Amelia dan Aqasha selaku watak utama dalam drama ini.

"Umpama mi sanggul dan kuahnya, walaupun berlainan rasa dan tekstur tapi bila disatukan akan mendapat hasil yang sangat sedap untuk dinikmati. Begitulah antara hero dan heroin, gandingan mereka begitu serasi walaupun kedua-dua watak ini mempunyai karakter dan personaliti berbeza. Drama ini lengkap dengan pelbagai rasa yang mampu menceriakan hari sesiapa yang menonton. Ada rasa masam, manis, sedih dan gembira," katanya.

Selain Amelia dan Aqasha, drama Cik Ayu Mee Sanggul turut menampilkan Aryan Adzrin, Iman Zulkarnain, Shiqin Kamal, Fimie Don, Asha Merican, Nabil Aqil, Aznah Hamid, Mahmud Ali Bashah, Izzendra, Natasha Hamzah dan ramai lagi.

Lebih istimewa, drama ini turut diserikan dengan penampilan khas Datuk Rosyam Nor, Dynas Mokhtar dan Cat Farish.

Cik Ayu Mee Sanggul ditayangkan setiap Isnin hingga Khamis, jam 10 di Slot Megadrama secara eksklusif di saluran Astro Ria HD (104) dan Astro Ria (124) serta turut boleh distrim menerusi aplikasi Astro GO dan on demand untuk pilihan yang lebih fleksibel.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 Julai 2021 @ 6:45 AM