ASHA terpaksa tolak tawaran heroin kerana jadual yang padat.
ASHA terpaksa tolak tawaran heroin kerana jadual yang padat.
Ridzuan Abdul Rahman


SELEPAS drama bersiri Cik Ayu Mee Sanggul, nama Asha Merican, 24, terus menjadi sebutan peminat menerusi drama The Hotel dan The Hotel (Jiwa Yang Kau Puja) yang ditayangkan menerusi slot Megadrama Astro Ria.

Asha yang memulakan langkah dalam lakonan dengan menyertai Astro On Air gembira kerana rezekinya kini semakin melimpah ruah.

"Alhamdulillah, ini yang dikatakan rezeki. The Hotel (Jiwa Yang Kau Puja) masih lagi menjalani penggambaran walaupun sudah menemui peminat di kaca TV. Tinggal beberapa episod lagi untuk dihabiskan sepenuhnya dan saya lega semuanya berjalan lancar seperti dirancang.

"Saya sekarang turut sibuk dengan penggambaran drama Ash Dan Aish juga untuk slot Megadrama sebanyak 28 episod yang turut menampilkan Meerqeen," katanya.

Jadual Asha ternyata padat kerana selepas ini akan berlakon drama 16 episod untuk platform tontonan Viu.

"Saya terima setiap tawaran dengan penuh rasa syukur. Namun ada juga ujiannya kerana tiba-tiba saya didatangi tawaran sebagai heroin drama.

BERUSAHA keras untuk berada di tempat  sekarang.
BERUSAHA keras untuk berada di tempat sekarang.

"Namun apakan daya terpaksa ditolak kerana jadual yang tak mengizinkan. Perasaan ralat itu memanglah ada. Tapi saya berfikiran positif anggap bukan rezeki saya buat masa ini. Insya-Allah ada rezeki pasti ada lagi tawaran nanti," katanya.

Asha berkata, sehingga Mac tahun hadapan, komitmennya hanya pada lakonan sehingga penggambaran tamat.

"Tak dinafikan penat itu memanglah, tapi saya gembira dengan apa yang saya buat kerana nak benda ini. Ia adalah kerjaya yang saya pilih. Saya tak berani berjanji samada nak berehat sekejap selepas Mac kerana sekiranya ada rezeki yang baik insya-Allah saya akan sambung berlakon.

"Namun sekiranya tiada, saya akan berehat sekejap. Kadangkala saya tak nak tolak rezeki takut tak datang terus," katanya.

Meskipun mengakui tiada masa untuk diri sendiri, Asha tetap gembira dengan apa yang dilalui.

"Sebelum ini kita kan sudah lama berehat akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) hampir dua tahun. Jadi apabila kembali bekerja dan sibuk saya rasa seronok pula. Ia masa untuk kita kembali aktif," katanya.

Seperti pelakon lain, Asha berkata, dia bukanlah terlalu cerewet dalam memilih watak.

"Tapi saya kena tengok juga bagaimana wataknya. Saya sebenarnya sukakan watak mencabar. Yang orang tak nak buat, saya buat.

"Apapun saya belum lagi dapat watak idaman sebagai 'fighter'. Kalau ada rezeki watak begini, saya pasti akan buat yang terbaik.

"Di dunia realiti saya memang seorang yang sedikit lasak. Tapi saya boleh bawa apa saja watak yang ditawarkan kerana perlu versatil," katanya.

Selepas program Astro On Air tamat, Asha berlakon drama Rindu Yang Terlarang dan disusuli Pemuja Rahsia serta Juliet.

Drama lain lakonannya ialah Lingkungan Cinta, Marry Me Senorita dan Tak Sempurna Mencintaimu.

"Ada peminat yang mengikuti lakonan saya sejak awal dan sering memberikan sokongan tak berbelah bahagi.

"Alhamdulillah...saya pun puashati dengan usaha dari awal. Bukan senang nak sampai sini.

"Macam-macam dugaan yang sayalalui. Saya juga berusaha masuk kelas lakonan untuk dapatkan ilmu," katanya yang menjelaskan tidak mempunyai masalah untuk berlakon debgan mana-mana stesen TV.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 November 2021 @ 6:00 AM