TAMPIL sebagai Akhtar yang bersikap pesimis dan pemarah.
TAMPIL sebagai Akhtar yang bersikap pesimis dan pemarah.
Ridzuan Abdul Rahman


BERGELAR seorang duda yang mempunyai pengalaman hitam dalam hidupnya terhadap rumah tangga, menjadikan Akhtar skeptikal pada wanita terutama yang berstatus janda.

Itu watak menarik lakonan Aqasha sebagai Akhtar dalam siri Cik Ayu Mee Sanggul yang mula menjadi sebutan penonton selepas bersiaran di kaca TV bermula 27 Julai lalu.

Pemilik nama sebenar Firdee Akassya Rosli, 38, ini mengakui ada kelainan tersendiri apabila dia membintangi drama terbitan Suhan Movies & Trading Sdn Bhd itu.

"Pada saya, ini karakter yang lucu dan menarik. Yang kelakarnya macam mana Akhtar boleh terperangkap dalam beberapa situasi di mana dia kena berurusan dengan Cik Ayu (Amelia Henderson).

"Akhtar kena bergelut dengan realiti di mana berdepan kisah silam dengan sikapnya yang pesimis serta pemarah dan itu yang mewarnai watak ini.

"Saya boleh bekerja dengan sesiapa saja termasuk Amelia. Kami sentiasa bekerjasama berbincang untuk memenuhi tuntutan watak dilakonkan," katanya.

Menurutnya walaupun dikategori dalam barisan pelakon muda, Amelia mempunyai pengalaman yang banyak dalam lakonan.

"Ini memudahkan kami mengenali ruang dan energi masing-masing. Ini yang membantu untuk menghidupkan babak yang rumit bahasa badannya.

MANFAATKAN tempoh PKP dengan belajar skil memantapkan permainan gitar.
MANFAATKAN tempoh PKP dengan belajar skil memantapkan permainan gitar.

"Seronok apabila bekerja dengan orang yang dapat membentuk keserasian. Banyak babak yang perlu dibuat, tapi kedua-dua kami dah bersedia. Tiada sebarang masalah," katanya.

Drama tulisan Nieza Nahar arahan Idora Abdul Rahman ini memaparkan pengorbanan seorang janda muda yang mengahwini seorang duda tanpa ikatan cinta untuk menjadi ibu tiri kepada anaknya yang masih kecil dan memerlukan perhatian seorang ibu.

Bukan anak emas

Kredit yang diterima Aqasha bukan calang-calang apabila pemilik Suhan Movies & Trading Sdn Bhd, Datuk Rosyam Nor mengakui selesa memilihnya untuk setiap projek mereka.

Rosyam berkata, banyak faktor yang mempengaruhi keputusannya seperti Aqasha didapati amat profesional ketika bekerja, sesuai digandingkan dengan mana-mana heroin selain sukakan tonasi suaranya yang jantan.

"Alhamdulillah, ini rezeki saya. Tapi, apa yang boleh saya katakan dari apa yang saya nampak, mungkin dari sudut penulisan, penceritaan atau 'range' umur drama ini amat meluas.

BERSYUKUR masih diberikan watak utama dalam lakonan.
BERSYUKUR masih diberikan watak utama dalam lakonan.

"Kalau dulu cerita drama mesti kisah hubungan cinta dua watak yang agak muda. Tapi, sekarang perhatian dah berubah.

"Ini bagus kerana banyak lagi pelakon yang sebaya dengan saya mempunyai ruang untuk memainkan watak seperti ini," kata Aqasha.

Dia juga menafikan dirinya anak emas Suhan dan bersetuju dengan kenyataan Rosyam bahawa jalinan kerjasama yang dibentuk menjadikan setiap urusan kerja mereka sukses.

Ditanya aktiviti sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0, Aqasha berkata, dia meluangkan masa bersama keluarga dengan melakukan aktiviti berfaedah.

"Sepanjang aktif berlakon, saya ada juga buat perkara lain untuk hidup. Jadi walaupun PKP, kerja ini masih diteruskan.

"Yang ketaranya ketika PKP, saya ada banyak masa terluang. Tiga bulan kebelakangan ini, saya banyak terjumpa benda-benda baharu yang tiba-tiba boleh jadi hobi.

"Semua maklumat dihujung jari dan buka saja internet, YouTube macam-macam tutorial ada. Namun, disebabkan saya aktif main gitar, saya masih cipta lagu. Cuma, saya tiada perancangan untuk keluarkan single.

"Disebabkan PKP juga, tiada orang yang boleh buat servis gitar, jadi saya pun belajar secara dalam talian. Saya juga dapat 'skill' apa yang menjadikan sebuah gitar itu lebih seronok dan sedap untuk dimainkan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 Ogos 2021 @ 7:00 AM