AZHARINA
AZHARINA
Syafil Syazwan Jefri

Kuala Lumpur: "Sampai sekarang saya masih lagi berada dalam ketakutan!".

Demikian kata penyanyi, Azharina Azhar yang berkongsi mengenai insiden rumahnya dipecah masuk individu tidak dikenali, malam semalam.

Azharina ketika dihubungi berkata, dia menyedari kediamannya dipecah masuk pencuri apabila mendengar bunyi orang sedang membuka peti besi yang disimpan di rumahnya.

"Rumah saya memang sunyi. Jadi, saya dapat dengar dengan jelas ada orang cuba membuka peti besi dan pada ketika itu, jam sudah menunjukkan lebih 11 malam.

"Saya yang berada di ruang pejabat lari masuk ke bilik anak saya, Rahmat dan kunci pintu bilik. Saya hubungi jiran saya untuk meminta bantuan," katanya kepada Harian Metro.

Jirannya kemudian keluar dan dia dapat mendengar penjahat itu berlari turun ke tingkat bawah rumahnya.

"Dalam keadaan ketakutan, saya hubungi jiran saya, namun dia tak dapat masuk melalui pintu depan kerana ia berkunci.

"Jadi, saya terpaksa membawa Rahmat keluar melalui tingkap dan melalui bumbung rumah yang bersambung dengan rumah jiran.

"Jiran saya membantu menyambut anak saya dan saya perlu lari masuk semula ke dalam rumah untuk membuka kunci pintu di tingkat bawah.

"Jiran bersama pengawal keselamatan datang membuat pemeriksaan, namun penjahat itu sempat melarikan diri," katanya.

Penyanyi lagu Elegi Sepi itu bagaimanapun bersyukur kerana tidak ada sebarang kecederaan kepada anaknya.

"Pada ketika itu, dalam fikiran saya hanyalah keselamatan anak saya. Mujur tak ada sebarang kecederaan.

"Penjahat itu tidak sempat membuka peti besi yang besar. Cumanya, satu peti besi kecil terkunci secara automatik kerana dia tak dapat membuka sebanyak tiga kali.

"Ada kesan umpil pada peti besi itu dan ia menguatkan lagi bukti bahawa memang ada orang yang pecah masuk ke dalam rumah saya," katanya.

Azharina juga meluahkan rasa hairan kerana rumahnya dilengkapi dengan beberapa ciri-ciri keselamatan, tetapi turut dipecah masuk.

"Saya sendiri tak faham, bagaimana penjahat ini boleh masuk ke rumah sedangkan semua pintu dan tingkap dipasang dengan alat penggera.

"Lagi satu, kawasan perumahan saya adalah kawasan berpengawal dan jarak dari pos kawalan ke rumah saya hanya sekitar 20 langkah saja. Tapi, masih lagi ada insiden sebegini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 Julai 2021 @ 12:54 PM