AWAL Ashaari
AWAL Ashaari
Najiy Jefri


Kuala Lumpur: Pengacara Melodi, Awal Ashaari berasa ralat apabila terpaksa meninggalkan program hiburan popular itu dalam keadaan tidak bersedia.

Awal yang mengumumkan pengundurannya dari Melodi hari ini berkata, ralat adalah perkataan paling sesuai mengenai apa yang dirasanya ketika ini.

"Ralat sebab tak sempat untuk merancang hala tuju kerjaya saya selepas ini. Ralat tak sempat balik ke set Melodi untuk episod akhir.

"Ralat tak dapat buat penyerahan tugas kepada bakal pengganti saya. Ralat tak dapat jumpa pasukan Melodi yang sudah seperti keluarga sendiri dan ralat tak sempat 'sign off' program kesayangan saya ini," katanya.

Awal berkata, rakaman program Melodi semalam yang akan ditayangkan esok adalah yang terakhir buatnya.

"Semalam adalah hari terakhir saya bersama Melodi. Sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kami bersiaran secara virtual dan petang semalam adalah rakaman saya yang terakhir bersama rakan pengacara, Janna Nick, di rumah masing-masing," katanya.

"Selepas rakaman semalam, saya terdiam. Lama saya berfikir begini pengakhiran saya dalam program ini? Bukanlah minta untuk diraikan, cuma saya tak sempat nak ucap kata perpisahan buat semua yang berjasa dan menyokong saya sepanjang bersama Melodi," tulisnya dalam beberapa hantaran foto di Instagram, hari ini.

Awal berkata, dia turut kesal apabila tidak dapat melakukan penyerahan tugas kepada bakal penggantinya.

Menurut Awal, dia juga terkejut apabila pertukaran pengacara baru dibuat dalam waktu yang singkat. "Terkejut. Sebelum ini kalau ada pertukaran kita akan boleh jangka. Ada bayangan, kiasan, maklumat sumber dalaman dan selalunya cukup masa yang diberi untuk transisi yang besar dalam kerjaya kami.

"Dua minggu? Tentunya satu keputusan yang sukar diterima di saat anak seni rata-rata berdepan dengan kekangan tidak boleh bekerja dan industri seni tidak dibenarkan beroperasi. Khidmat yang saya curahkan sepanjang lapan tahun bergelar pengacara Melodi seolah-olah terhenti begitu saja.

"Namun, saya percaya kepada rezeki, qada dan qadar. Bukanlah niat untuk menongkat langit. Tempoh lapan tahun sudah cukup untuk mana-mana pengacara matang dan beroleh kepuasan dalam program kelolaan mereka. Saya reda dan sikit pun tak ambil hati," katanya.

Dalam masa sama, Awal memaklumkan pertukarannya sebagai pengacara diputuskan selepas pihak stesen TV menggantikan tempatnya dengan pengacara yang bernaung di bawah syarikat pengurusan Media Prima Berhad (MPB).

"Kepada semua penonton Melodi dari mula saya bersiaran sampailah ke episod terakhir esok, terima kasih tak terhingga. Saya minta maaf sekiranya ada salah silap sepanjang saya mengendalikan Melodi.

"Kepada pihak pengurusan MPB, terima kasih kepada sudi beri peluang kepada saya untuk menjadi sebahagian daripada legasi Melodi. Bersama Melodi adalah satu pengiktirafan peribadi untuk saya," katanya.

Desas-desus mengenai penggantian pengacara Melodi mula diperkatakan sejak minggu lalu. Portal Harian Metro sebelum ini melaporkan pertanyaan Janna dan jawapan yang diberikan Awal pada penghujung program Melodi, baru-baru ini seakan-akan kedengaran pelik dan menjadi tanda tanya adakah minggu ini bakal menyaksikan episod terakhir mereka sebagai pengacara.

Sementara itu, usaha Harian Metro menghubungi penerbit Melodi, Sufian Isa bagi mendapatkan reaksi berhubung perkara ini tidak berjaya apabila panggilan dan mesej tidak dijawab.

Bagaimanapun, TV3 akan mengadakan sidang media secara virtual Isnin ini bagi mengumumkan pengacara baharu Melodi yang dikatakan bakal diterajui pelakon popular, Nabila Huda.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 Julai 2021 @ 6:01 PM