INESSA Irdayanty
INESSA Irdayanty

Kuala Lumpur: "Percayalah, kalau mak aku masih ada, kedua-dua belah muka kau dah kena tampar, Norish."

Itu kata adik kepada pelakon, Allahyarham Benjy Ibrahim, Inessa Irdayanty yang meluahkan rasa marah dan kecewa dengan sikap individu menggunakan akaun yang tertera nama pelakon, Norish Karman yang didakwa 'menyerang' di Instagram dan melabel Inessa dan kakaknya, Elza Irdalynna sebagai tidak bertanggungjawab.

Dalam hantaran yang dimuat naik di Instagram, Inessa menganggap tindakan individu itu adalah tidak wajar memandangkan keluarganya masih bersedih atas kehilangan abangnya.

"Astaghfirullahalazim! Jantung aku berdegup kencang sekarang! Aku tak tahu sama ada ini akaun asli atau palsu.

"Aku tak habis nangis lagi, tanah kubur abang aku masih merah lagi, kau boleh tanya aku benda-benda macam ni?!" tulisnya.

Dalam hantaran sama, Inessa memuat naik potongan mesej yang diterima di Instagram daripada akaun IG itu yang mendakwa bahawa Inessa dan Elza tidak mengambil berat kebajikan dan kesihatan Benjy ketika dia masih berada di dalam penjara di Indonesia.

Inessa berkongsi bagaimana kakaknya berkorban dan bekerja keras untuk mencari wang dan dihantar kepada Benjy.

MESEJ yang didakwa dihantar oleh Norish Karman kepada adik Allahyarham Benjy.
MESEJ yang didakwa dihantar oleh Norish Karman kepada adik Allahyarham Benjy.

"Kau tahu ke berapa banyak kakak aku bagi kepada Ben setiap bulan?

"Kau tahu ke bagaimana kakak aku melakukan tiga hingga lima, kadang-kadang tujuh kerja dalam satu masa sampai masuk hospital banyak kali.

"Sampai doktor yang beri arahan suruh dia berhenti kerja, sebab dia bagai nak mati cari duit nak hantar kat abang aku? 

"Kau tahu ke berapa kali kakak aku nak bunuh diri sebab tak tahan dengan tekanan jaga abang aku?Kau tahu ke bapa aku dah sakit empat tahun, aku jaga dia seorang?" tulisnya.

Dalam masa sama, Inessa turut meluahkan bagaimana Benjy bertarung dengan situasi kesihatan ketika berada di Kuala Lumpur.

"Kau tahu ke abang aku pernah nak mampus dah masa dia masih di Kuala Lumpur dan aku dengan suami aku yang tolong sihatkan dia semula sampai dia boleh hidup normal balik?

"Kau tahu ke berapa kali aku nangis minta ampun dengan abang aku sebab aku tak mampu nak tolong lebih?

"Kau tahu ke berapa kali abang yang minta ampun dengan aku untuk semua benda yang berlaku? Kau tak tahu apa-apa!" tulisnya.

Bagaimanapun akaun menggunakan nama Norish Karman itu tidak memberi sebarang reaksi balas dan akaun Instagram berkenaan juga kini dikunci.

Usaha Harian Metro bagi mendapatkan kenyataan daripada Norish berhubung perkara itu gagal apabila panggilan telefon diputuskan.

Sebelum itu, Norish dilihat memuat naik ucapan takziah dan luahan rasa sedih dan pilu atas pemergian Benjy yang meninggal dunia pada 11 Julai lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Julai 2021 @ 6:30 PM