LUAHAN Elza mengenai Benjy di Twitter, hari ini. FOTO Arkib NSTP
LUAHAN Elza mengenai Benjy di Twitter, hari ini. FOTO Arkib NSTP
Najiy Jefri


"Apa saja kesalahannya, dia masih darah daging saya."

Demikian luahan adik pelakon Khaeryll Benjamin Ibrahim atau Benjy iaitu Elza Irdalynna berhubung hukuman penjara selama 11 tahun yang dikenakan terhadap abangnya atas kesalahan memiliki dadah.

Elza menerusi kenyataan terbuka di Twitter hari ini meluahkan rasa sedih dan akan tetap menyayangi Benjy walaupun abangnya melakukan kesalahan dan dia tidak pernah menghukum perbuatannya itu.

"Saya tidak menghukum Ben (panggilan untuk Benjy) kerana kesalahannya. Saya sayangkannya sebagai abang. Saya maafkan dia sebagai keluarga saya.

"Dia masih mempunyai masa yang panjang untuk menebus kesalahannya dan sebagai adik saya akan tetap berada di sini sehingga ke akhirnya," tulisnya di Twitter.

Pada 18 Oktober lalu, Benjy, 38, dijatuhi hukuman penjara selama 11 tahun oleh Mahkamah Daerah Medan, Indonesia selepas didapati bersalah memiliki 4.5 gram dadah jenis methaphetamine.

Benjy turut dikenakan denda berjumlah AS$74,000 (RM312,539) atas kesalahan itu.

Menerusi kenyataan itu, Elza turut menyifatkan abangnya seorang yang banyak berkorban demi menjaganya dan adik mereka, Inessa Irdayanty ketika mereka masih kecil.

"Dia adalah abang yang menjaga saya dan adik ketika ibu bapa kami keluar bekerja. Sejak kecil dia sentiasa menjadi ketua keluarga serta berkorban masa bersama rakan-rakannya bagi menjaga kami.

"Ben, untuk semua kelemahan dan keputusan yang salah, tetap abang saya. Dia mempertahankan apabila saya memerlukannya, dia adalah pelindung adik-adiknya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 Oktober 2017 @ 5:01 PM