IJAN (kiri) bersama Acong (kanan)
IJAN (kiri) bersama Acong (kanan)
Najiy Jefri

Kuala Lumpur: Pemain bass kumpulan SweetChild, Ahmad Zamri Zainal Abidin, 46, atau Ijan kini dilaporkan kritikal dan ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sungai Buloh akibat Covid-19.

Penyanyi kumpulan itu, Acong berkata, Ijan kini ditidurkan untuk proses rawatan dengan alat bantuan pernafasan.

"Ketika Ijan dimasukkan ke hospital enam hari lalu, dia ada beberapa kali berkongsi gambar keadaan dirinya yang terpaksa menggunakan alat bantuan pernafasan di WhatsApp kumpulan SweetChild.

"Ijan beritahu walaupun dia menggunakan alat bantuan pernafasan, tapi dia masih sukar untuk bernafas dengan baik dan cuba harungi penyakit ini dengan kuat," katanya kepada Harian Metro.

Acong berkata, semalam dia dimaklumkan Ijan kritikal oleh seorang kenalan rapatnya yang juga aktif 'busking' bersamanya sebelum ini.

"Jadi, Ijan terpaksa ditidurkan untuk proses rawatan. Saya harap dia kuat melalui ujian ini dan segera sembuh," katanya.

Acong atau nama sebenarnya Ahmad Fauzi Manat berkata, isteri dan empat anak Ijan turut positif Covid-19 dan mengharapkan sumbangan orang ramai untuk membantu mereka.

"Saya memohon sumbangan kecil orang ramai untuk sama-sama membantu Ijan dan keluarganya. Dia seorang sahabat yang sangat baik dan tidak pernah berkira jika saya minta sebarang pertolongan," katanya.

Acong berkata, Ijan bekerja sepenuh masa sebagai 'buskers' manakala isterinya tidak bekerja.

Bagi yang ingin memberi sumbangan boleh ke akaun Maybank bernombor 164230400877 atas nama isteri Ijan iaitu Sarina Othman.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 Julai 2021 @ 4:56 PM