ACONG bersama isteri, Marya dan anak mereka.
ACONG bersama isteri, Marya dan anak mereka.
Ridzuan Abdul Rahman


WALAUPUN sudah boleh menyambung semula aktiviti lakonan sekarang, Acong Sweetchild, 47, tetap akan meneruskan perniagaan makanan secara dalam talian yang diusahakan sebelum ini.

Acong berkata, dia bersama isteri, Marya Zuraida tekad memulakan perniagaan makanan selepas tidak dapat bekerja ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pertama Mac tahun lalu.

Mereka yang menjual laksa kari nyonya dan biskut moden bersyukur kerana pendapatan dari perniagaan itu membantu mereka ketika berdepan waktu sukar.

"Alhamdulillah, dengan pendapatan yang diraih dapatlah untuk bayar segala kos. Untuk tunggu rezeki lain yang agak besar memang lambat lagi. Benda ini amat membantu semasa sukar.

"Nak minta tolong kawan-kawan, sekali dua bolehlah. Kalau selalu sangat faham-fahamlah mereka pun menyampah," katanya.

Acong berkata, semangat untuk berniaga datang daripada Johan Aziz yang juga bekas pengurus kumpulan Slam dan Zamani.

TETAP teruskan perniagaan dalam talian walaupun sudah kembali aktif berlakon.
TETAP teruskan perniagaan dalam talian walaupun sudah kembali aktif berlakon.

"Dia selalu beri galakan untuk saya buat. Abang Jo juga sarankan saya guna 'rider' makanan kerana kalau hantar sendiri kosnya lebih tinggi. Saya juga jadi ejen pasarkan gearbox tulang kambing masakan abang Jo kepada pelanggan sekitar tempat tinggal saya," katanya.

Menurutnya, sambutan terhadap jualan mereka amat menggalakkan dan pernah mencecah 100 bekas sehari.

"Ia bergantung pada hari juga kerana kadang-kadang banyak apabila pekerja pejabat buat tempahan. Sekali tempah 20 hingga 30 bekas. Ada juga yang buat 'repeat order' kerana sukakannya. Kawan-kawan artis seperti Nizam Laksamana, anak-anak dan saudara maranya pun sokong apabila rajin menempah," katanya.

Acong kini terbabit dengan penggambaran drama episod Misi Seramedi, manakala drama terbarunya Budak Intern kini ditayangkan menerusi TV9.

MENJUAL laksa kari nyonya sejak PKP tahun lalu.
MENJUAL laksa kari nyonya sejak PKP tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 September 2021 @ 6:10 AM