Syafil Syazwan Jefri


Kuala Lumpur: Filem On Your Mark, arahan pengarah dari  Malaysia, Chiu Keng Guan sudah meraih kutipan pecah panggung sebanyak RM24 juta (RMB37 juta) di China dalam tempoh tiga hari tayangan bermula 18 Jun lalu.

Kutipan pecah panggung itu juga sekali gus berjaya meletakkan filem On Your Mark di tangga pertama dalam carta filem terbaharu di negara itu. 

Chiu yang pernah menghasilkan karya hebat seperti OlaBola dan The Journey meluahkan rasa terujanya dan berharap agar filem ini dapat diterima baik penonton Malaysia apabila ditayangkan di tanah air tidak lama lagi. 

"Sebagai pengkarya filem Malaysia, saya amat gembira apabila filem ini menerima sokongan padu di hari pembukaannya di China. 

"Saya harap filem On Your Mark akan terus berjaya dan saya tidak sabar untuk mempersembahkan filem ini di Malaysia tidak lama lagi," katanya. 

Terdahulu, ketika tayangan hari pertamanya di panggung pada Jumaat lalu, filem On Your Mark sudah berjaya mencatat kutipan sebanyak RM8.7 juta (RMB13.65 juta).

Filem ini adalah karya pertama arahan Chiu di negara China dan ia diterbitkan oleh Jiangsu Maoyan Culture Media, Wuxi Cangsheng Film, Tianjin Maoyan Weiying Culture Media, Jiangsu Hao Di Cultural Development, Sports Culture Development Center of the State General Administration of Sports (China Sports Museum), dan Astro Shaw, selaku penerbit tunggal dari Malaysia.

Untuk pasaran di Malaysia, filem ini menggunakan tajuk On Your Mark manakala di negara China ia menggunakan tajuk asal iaitu The Great Dad atau Liao Bu Qi de Lao Ba. 

Filem ini membariskan pelakon hebat dari negara China seperti Yanhui Wang, Youhao Zhangt, Beibi Gong, Wenjuan Feng, Junhao Li dan Jinshan Liu. 

 

 

 

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 Jun 2021 @ 5:07 PM