LAPORAN portal Harian Metro sebelum ini.
LAPORAN portal Harian Metro sebelum ini.
Norhayati Nordin


Kuala Lumpur: Pelawak dan penyanyi, Achey Bocey, 35, ada menerima mesej di Instagram daripada individu-individu yang menunjukkan minat mahu membeli motosikal yang bakal dijualnya nanti.

Keputusan menjual motosikal kesayangan itu dibuat Achey atau nama sebenarnya Mohd Nasir Hamzah, sebagai alternatif untuk mengumpul wang bagi menampung kos rawatan ibunya, Ngaisah Hassan, 70, yang kini mengalami masalah kesihatan.

Achey yang memiliki beberapa buah motosikal ketika dihubungi berkata, ada di antara mereka sudah bertanya dan memilih motosikal yang diingini, namun buat masa ini Achey mahu menjual motosikal lasak terlebih dulu.

"Saya juga bimbang bila dah letak harga nanti, pembeli tiba-tiba senyap pula. Buat masa ini saya nak jual motosikal lasak atau 'motorcross' dulu. Selepas itu baru motosikal yang lain.

"Namun, jika wang untuk kos rawatan emak sudah mencukupi, maka aktiviti jualan itu akan saya hentikan," katanya kepada Harian Metro.

Achey berkata, dia juga terharu apabila mendapat banyak mesej daripada rakan-rakan termasuk artis yang ingin menghulurkan sumbangan kewangan untuk membantunya dan keluarga.

"Alhamdulillah, ramai juga yang menghubungi saya dan mengirim mesej meminta nombor akaun bank. Namun, saya beri nombor akaun bank kakak untuk mereka salurkan sumbangan berkenaan.

"Saya tak nak terima wang itu dan biar kakak saja yang uruskan segala sumbangan kewangan untuk kos perubatan emak. Insya-Allah, setakat ini saya masih boleh bertahan lagi untuk pembiayaan kos rawatan itu," katanya.

Menurut Achey, dia bersama adik-beradiknya yang lain juga sudah sepakat untuk sama-sama berusaha mengumpul wang diperlukan untuk kos rawatan berkenaan.

Katanya, dia juga kini menjalankan beberapa perniagaan secara kecil-kecilan sejak penularan Covid-19.

Berbicara mengenai kesihatan ibunya, Achey berkata, doktor sudah membenarkan ibunya pulang ke rumah, tapi perlu lebih kerap ke hospital untuk pemeriksaan.

"Keadaan kesihatannya sekarang agak bagus, cuma kena kerap membuat rawatan susulan di hospital. Ini kerana doktor memaklumkan penyanyi emak ini jarang dijumpai.

"Namun, saya dan adik-beradik juga berusaha dengan kaedah ubat-ubatan herba selain tidak meninggalkan ubat dari hospital," katanya.

Achey berkata, doktor juga mengingatkan mereka supaya sentiasa memastikan ibu dalam keadaan gembira dan ceria seperti biasa.

"Emak tak boleh murung dan berasa sedih. Jadi, kami semua kena pastikan dia sentiasa seronok dan positif saja," katanya.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan Achey sanggup menjual apa saja barang kesayangannya termasuk motosikal bagi menampung kos rawatan ibunya.

Berita berkaitan

  • Demi ibu, Achey sanggup jual motosikal
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 Jun 2021 @ 3:02 PM