ABANGSAPAU mahu tunjuk keaslian muziknya dengan identiti sendiri.
ABANGSAPAU mahu tunjuk keaslian muziknya dengan identiti sendiri.
Georgie Joseph


SEWAKTU meneroka hala tuju muzik terbaik untuknya, penyanyi rap ABANGSAPAU jelas bercelaru dalam pencarian itu. Dia tahu dirinya memang cintakan muzik hip hop, tapi sukar mencipta identiti sendiri.

Bagi ABANGSAPAU atau nama sebenarnya Shazuan Shiraj, 22, mengakui bukan mudah apalagi dia risau dirinya tidak bagus selain sentiasa membandingkan dirinya dengan orang lain.

Itulah dilema yang dihadapi penyanyi dari Singapura ini sewaktu permulaan karier muziknya beberapa tahun lalu. Justeru, dia memilih untuk tidak terlalu mencuba dan menjadi autentik ikut cara sendiri.

"Sewaktu mula-mula menyanyi, saya sentiasa cuba untuk menjadi seperti penyanyi lain. Nyanyian saya kedengaran berbeza-beza kerana cuba mengikut cara nyanyian mereka.

"Ia kerana saya memang dibelenggu perasaan di mana saya sentiasa rasa diri tidak bagus. Sejak kecil, saya terdorong untuk bandingkan diri dengan orang lain.

"Sampai satu tahap, saya berkata kepada diri sendiri untuk berhenti fikir cukup baguskah saya? Daripada situ, saya nekad untuk tampil lebih autentik tanpa bandingkan diri dengan orang lain," katanya.

Tampil dengan lagu pengenalan berjudul 'hahaha' baru-baru ini, ABANGSAPAU juga bersyukur pandemik yang melanda ketika ini sebenarnya banyak membantu sisi kreativitinya.

Menurutnya, lagu hahaha ciptaan bersama Prodbydan itu cukup memuaskan hatinya meskipun mengambil masa lama disiapkan. Dihasilkan sekitar Oktober 2020, ia akhirnya dilancarkan bulan lalu.

"Disebabkan terkurung di rumah sepanjang pandemik, masa saya bekerja sememangnya banyak dihabiskan di rumah. Jadi kekusutan fikiran itu lebih kurang berbanding sebelum ini kena keluar ke acara-acara dan buat persembahan.

LAGU hahaha menjadi single pengenalan buatnya.
LAGU hahaha menjadi single pengenalan buatnya.

"Saya sedari kreativiti diri sebenarnya semakin meningkat ketika itu. Saya dapat meneroka banyak perspektif baharu yang saya tidak pernah terbayang akan terlintas dalam fikiran," katanya.

Selain berazam untuk terus rancak menghasilkan karya muzik, ABANGSAPAU turut menyimpan hasrat menyantuni golongan bekas banduan pada masa hadapan. Bahkan, niat itu sudah terbit lama dalam dirinya.

Bagi individu yang pernah berdepan trauma sejak kecil termasuk mangsa dera, dia akui perjalanan hidupnya tidak seindah orang lain. Dia kerap menjadi mangsa tindas sekali gus memberi kesan terhadap kelakuannya sewaktu di sekolah.

"Saya pernah dilabel pemberontak kerana dulu saya memang selalu langgar peraturan. Macam-macamlah pernah berlaku termasuklah trauma dengan nasib perceraian ibu bapa saya.

"Dari situlah timbul keinginan saya untuk menyantuni golongan bekas banduan. Itu antara misi murni dalam hidup saya untuk berbakti semula kepada masyarakat," katanya.

Bernaung di bawah label rakaman Def Jam Asia Tenggara, ABANGSAPAU antara nama penyanyi rap semakin mendapat perhatian di Singapura. Dia cukup dipuji dengan corak nyanyiannya yang begitu telus dan ikhlas dari hati.

Video muzik (MV) hahaha juga mendapat sambutan yang

memberangsangkan. Diarahkan Island Boys, MV itu menggambarkan kehidupan selebriti yang sibuk, kerja tak bertepi, berjumpa media dan lain-lain.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Mei 2021 @ 6:35 AM