PERSIAP diri menukar imej dan hala tuju muziknya demi misi menakluk pasaran antarabangsa.
PERSIAP diri menukar imej dan hala tuju muziknya demi misi menakluk pasaran antarabangsa.
Georgie Joseph


LANGKAH penyanyi Aizat Amdan atau kini menggunakan nama Ai.Z ke pentas antarabangsa semakin jelas dan nyata.

Sekian lama mengidam melebarkan namanya ke luar negara, akhirnya misi itu dimulakan baru-baru ini.

Sebagai pengenalan, Ai.Z atau nama sebenarnya Muhammad Aizat Amdan, 32, melancarkan single The Last Thing ciptaannya bersama Yuna.

Apa yang menarik, hala tuju muzik itu cukup berbeza dan jelas memiliki nuansa antarabangsa.

Berkongsi dengan RAP, Ai.Z mengakui dia memang tetapkan untuk tampilkan kelainan berbanding corak muziknya sebelum ini.

Ini kerana dia inginkan corak muziknya untuk pasaran antarabangsa lebih setara dengan tahap penyanyi luar negara.

Justeru, dia melakukan persediaan rapi sejak tahun lalu untuk menjenamakan setiap aspek dirinya demi misi terbabit.

Menurutnya, ia bukan tugas mudah kerana dia seperti bermula dari bawah semula.

"Sewaktu memulakan projek itu, saya memang sudah tetapkan dalam fikiran untuk tampil lebih baharu dan lain daripada Aizat Amdan. Disebabkan itu jugalah saya menggunakan nama Ai.Z sebagai penjenamaan antarabangsa.

AI.Z syukur lagu The Last Thing terus mendapat pendedahan luar biasa.
AI.Z syukur lagu The Last Thing terus mendapat pendedahan luar biasa.

"Ternyata bukan mudah kerana saya perlu benar-benar mendalami pesona diri untuk menjadi Ai.Z. Misi saya tidak lain untuk menjadikan pembaharuan ini sebagai ekspresi melangkah ke tahap lebih tinggi.

"Sepanjang bergelar pengkarya muzik pun, setiap hari saya mencari diri dalam proses berkembang dan memperbaiki aspek artistik. Tiada istilah lupa diri kerana saya masih akan gunakan nama Aizat Amdan untuk karier di Malaysia," katanya.

Tidak meletakkan apa-apa harapan, tuah menerpa Ai.Z apabila lagu The Last Thing itu mendapat perhatian juruhebah Apple Music, Zane Lowe. Lebih manis, lagu itu turut diperdengar dalam programnya ke seluruh dunia.

Sekali gus, dia tidak perlu menunggu bertahun untuk mencipta tapaknya dengan pendedahan berharga itu. Dari segi pemasaran, kini dia sudah memiliki sedikit kelebihan untuk mencipta namanya di luar.

Berkongsi perasaannya, Ai.Z mengakui dia memang sangat terkejut dengan pencapaian yang disifatkan terlalu awal dan tidak dijangka.

Menurutnya, dia perlu berterima kasih dengan pengurusan Yuna Room Records (YRR) yang memungkinkan perkara itu.

"Sebenarnya lagu itu patut dilancarkan secara rasmi pada 11 Jun lalu, tetapi saya mendapat berita daripada YRR, Zane Lowe perdengarkan lagu saya dua hari lebih awal.

Menurutnya, dia berbuat demikian kerana sangat tertarik dengan lagu itu.

"Syukur, YRR adalah yang bertanggungjawab dalam mempromosikan lagu itu. Kebetulan Yuna ada jaringan dengan syarikat rakaman Independent di Amerika Syarikat (AS) dan menghubungi pihak sana untuk memperkenalkan lagu saya," katanya.

Projek tanpa dirancang

Projek untuk ke pasaran antarabangsa itu sebenarnya berlaku tanpa dirancang.

Sebelumnya, Ai.Z tidak menetapkan apa-apa perancangan sehinggalah Yuna menyarankannya.

"Projek ini bermula tahun lalu sewaktu Yuna dan beberapa rakan pemuzik datang lepak di studio saya. Kami pun secara spontan bermain muzik bersama sebelum Yuna cetuskan mengenai idea menghasilkan lagu Inggeris.

"Tanpa disangka, ia bertukar serius kerana saya sendiri memang terbuka dan yakin dia adalah individu tepat untuk bantu realisasikannya. Maka terhasillah The Last Thing yang keseluruhannya adalah buatan pengkarya Malaysia," katanya.

Ai.Z juga mengakui tugasan menyanyi lagu Inggeris mengikut piawaian antarabangsa ternyata bukan mudah.

Katanya, dia perlu bermula dari bawah dan benar-benar mematuhi tunjuk ajar daripada Yuna.

"Sejujurnya ia sangat mencabar kerana beberapa kali sebutan Inggeris saya diperbetulkan oleh Yuna. Saya rasa bagaikan baru belajar menyanyi semula dan kena lakukan rakaman berulang kali," katanya.

Dengan pendedahan diterimanya sekarang sejurus pelancaran The Last Thing, Ai.Z semakin bersemangat mengorak jauh untuk mempromosikan dirinya. Dia juga tidak menolak sekiranya jalan terbuka buatnya berbuat demikian di AS.

Menurutnya, dia memang sentiasa terbuka dengan apa saja peluang yang datang padanya. Bagaimanapun, pada masa sama dia mahu terus mengukuhkan penjenamaan serta persiapan untuk tampilkan imej baharu dirinya.

BERSYUKUR mendapat tunjuk ajar daripada Yuna bagi merealisasikan impiannya.
BERSYUKUR mendapat tunjuk ajar daripada Yuna bagi merealisasikan impiannya.

"Buat masa ini, memang sukar untuk buat pelan tetap kerana dunia masih diselubungi dengan penularan Covid-19. Apa yang mampu saya persiapkan hanyalah aspek imej dan pemasaran.

"Bagaimanapun, sekarang pun mudah untuk mempromosikan muzik secara digital dan saya juga akan memanfaatkan platform itu. Pada masa sama, saya akan sentiasa cari jalan untuk mendekati pendengar di luar negara.

"Kalau dapat peluang untuk pergi AS misalnya pun kenapa tidak, bukan?

Apapun, sekarang saya sangat teruja dengan sambutan yang diberikan peminat muzik dari negara kejiranan kita di Asia Tenggara juga," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 Jun 2021 @ 6:00 AM