KOPRATASA (dari kiri) Usop, Sani dan Siso kembali untuk projek istimewa demi peminat serta sahabat.
KOPRATASA (dari kiri) Usop, Sani dan Siso kembali untuk projek istimewa demi peminat serta sahabat.

SELEPAS agak lama menyepi, Kopratasa kini tampil dengan buah tangan terbaharu.

Bukan single baharu atau album baharu, tapi kumpulan yang popular dengan lagu puisi dianggotai Sani Sudin, Usop dan Siso itu tampil dengan lagu raya yang diberi nafas baharu.

Apa yang menarik, mereka merakamkan semula lagu berjudul Selamat Hari Raya yang dipercayai lagu raya terawal dirakam di tanah air.

Berdasarkan sumber yang dipercayai, lagu ciptaan Tengku Ali Basha @ Che Ara Bangsawan dan dinyanyikan Miss Aminah itu dirakamkan pada 1936.

Berdasarkan kepada pepatah 'yang buruk (lama) diperbaharui, yang usang dikajangi' ,

Kopratasa berasakan merakamkan semula lagu itu adalah satu aktiviti melestarikan satu khazanah lama untuk tatapan semula generasi terkini.

Mereka kemudian mencadangkan kepada pihak Luncai Emas Sdn Bhd untuk merakam semula lagu ini.

Persetujuan dicapai dan syarikat memberi kepercayaan kepada Hanafi Spider sebagai penerbit dan menyusun semula muzik lagu ini.

Kopratasa pula menambah sedikit melodi baharu di bahagian korus dan menyanyikan dengan cara mereka sendiri.

Pengarah Produksi Luncai Emas Sdn Bhd, Keon Omar berkata, walaupun rakaman semula lagu itu ada tambahan melodi, ia bukan bertujuan merosakkan lagu itu tapi untuk memeriahkan lagi melodinya supaya menepati konsep bergembira pada Aidilfitri.

"Inovasi melodi itu tidak mengganggu nilai asal lagu berkenaan. Melodi asal tetap dijaga, senikatanya pun tetap dipakai seperti yang asal. Ini menjadikan lagu ini lebih 'catchy' dan menarik," katanya.

Rakaman lagu ini dijalankan di Studio Ronggeng, Luncai Emas di Bandar Baru Sungai Buloh menggunakan khidmat pemuzik undangan seperti Tony Iskandar (bass), Mohar (seruling) dan Hanafi selaku pemain gitar. Proses 'mastering' pula dilakukan di Hafiz Studio.

Sani berkata, mereka berharap lagu ini dapat diterima dan memberi sesuatu yang unik sempena sambutan Aidilfitri tahun ini.

"Selepas membawa haluan masing-masing, kami kembali untuk projek istimewa ini demi peminat dan sahabat yang sentiasa memberi dorongan untuk kami terus berkarya," katanya.

Sani berkata, penggambaran video muzik lagu ini dilakukan awal Ramadan lalu.

Ia hanya dilakukan di studio dan sekitar pejabat Luncai Emas berikutan negara masih di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) ketika itu.

Ia diarahkan Juril Jumali, pengarah muda yang pernah mengarahkan beberapa video muzik antaranya Mencari Kaseh (Muss) dan Debaran Rindu (One Nation Emcee ft Datuk Jeffrydin).

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 Mei 2021 @ 6:40 AM