ANGGOTA Kembara terdiri daripada M Nasir, A. Ali, S. Sahlan, Zoul, Cheman dan Md Shah sudah bersedia menggegarkan Istana Budaya dengan persembahan mereka.
ANGGOTA Kembara terdiri daripada M Nasir, A. Ali, S. Sahlan, Zoul, Cheman dan Md Shah sudah bersedia menggegarkan Istana Budaya dengan persembahan mereka.
Oleh Ridzuan Abdul Rahman


Idea mereka sentiasa berbeza dengan artis lain. Justeru tidak menghairankan apabila kumpulan Kembara menghasilkan video muzik lagu Impian Seorang Nelayan bagi mempromosi Konsert Hati Emas Kembara yang akan berlangsung di Istana Budaya pada 21 hingga 23 November ini.

Konsert ini dianggap istimewa kerana kembali menggabungkan semua ang-gota asal kumpulan yang popular pada era 1980-an ini selepas konsert terakhir 28 tahun lalu.

Menariknya, konsert anjuran Luncai Emas ini menggabungkan dua generasi anggota Kembara yang dianggotai oleh Datuk M Nasir, A Ali, S Sahlan, Zoul, Cheman dan Md Shah.

Ditemui di studio penggambaran di Damansara, M Nasir berkata, idea istimewa ini dicetuskan oleh penerbit Konsert Hati Emas Kembara iaitu Keon.

"Boleh dikatakan ia benda baru kerana belum ada artis menghasilkan video muzik khas untuk konsert. Kami melihat ia satu idea bagus kerana tujuannya memang untuk mempromosikan konsert ini dengan lebih berkesan.

"Apabila siap, video muzik arahan Idril Minhat ini akan disiarkan menerusi laman sosial Facebook, YouTube dan TV sekali gus dapat memberitahu peminat mengenai kewujudan konsert yang akan membawa penonton mengembara ke dalam tema Ekspres Rakyat.

"Paling utama, peminat dari kalangan generasi baru juga dapat kenal siapa Kembara kerana selama ini mungkin kenal kami menerusi lagu saja. Malah video muzik ini juga akan digunakan ketika konsert nanti," katanya.

Menurutnya lagu Impian Seorang Nelayan menjadi pilihan kerana ia antara lagu terbaik yang pernah dihasil­kan oleh mereka.

"Versi asal lagu ini hanya dinyanyikan oleh Sahlan sepenuhnya. Untuk versi terbaru, kami buat perubahan dari susunan muzik agar dapat dinyanyikan secara harmoni.

"Kembara tetap kekalkan semangat macam dulu. Melodi lagu kami sememangnya melekat di hati peminat. Dengan adanya video muzik ini, secara tak langsung skop promosi lagu ini meluas," katanya.

Mengulas mengenai persiapan konsert pula M Nasir berkata, segala-galanya berjalan lancar seperti dirancang.

"Latihan untuk lagu sudah dibuat. Begitu juga aspek visual kerana semuanya sudah diusahakan. Saya percaya peminat akan berpuas hati nanti," katanya.

Sementara itu A Ali meng­anggap penghasilan video muzik ini satu penghargaan buat Kembara kerana lebih memudahkan peminat mengenali mereka.

"Menerusi cara ini barulah orang kenal siapa Kembara sekali gus dapat kembangkan lagi sejarah kami. Zaman dulu manalah ada video muzik seperti sekarang.

"Kami pernah terbabit dengan sebuah program TV Singapura yang merakamkan lagu Senandung Buruh Kasar apabila rakamannya di jalankan di sebuah tapak binaan.

"Rakaman itu dijadikan video muzik kami. Dulu dan sekarang sangat berbeza apabila rakaman sekarang hanya dibuat dalam studio. Pencapaian ini sesuatu yang mengagumkan buat Kembara," katanya.

Dengan adanya konsert ini, A. Ali mengharapkan Kembara akan kembali aktif berkarya dengan lagu terbaru buat peminat selepas ini.

"Mereka dahagakan lagu rakyat seperti dulu yang terus malar segar hingga ke hari ini. Saya dan M Nasir sama-sama dianggap sifu. Dia sifu untuk artis lelaki, manakala saya pula untuk artis wanita," katanya.

Tiket untuk menonton Konsert Hati Emas berharga daripada RM68 sehingga RM388 boleh didapati menerusi ticket2u.biz.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 November 2014 @ 5:00 AM