PENGGERAK Konsert MALAYSIA LIVE!, dari kiri ialah Acis, Jennifer, Pam dan Shahril.
PENGGERAK Konsert MALAYSIA LIVE!, dari kiri ialah Acis, Jennifer, Pam dan Shahril.
Norhayati Nordin


SITUASI pandemik Covid-19 yang menular dalam negara sejak tahun lalu, tak dinafikan turut melumpuhkan aktiviti persembahan nyanyian hingga menjejaskan pendapatan penggiat seni seperti penganjur konsert, pemuzik dan penyanyi.

Larangan tidak boleh berkumpul untuk memutuskan rantaian wabak, mendorong segala aktiviti membabitkan persembahan nyanyian dibatalkan serta-merta. Justeru, situasi berlaku cukup membawa impak besar.

Pemilik syarikat pembekal sistem audio dan cahaya profesional Gabung Cipta, Pam Shahril berkata pada mulanya dia juga hilang punca dan tidak tahu apa yang perlu dilakukan untuk terus memberi hiburan kepada masyarakat berikutan konsert atau persembahan tidak dibenarkan dan dilaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Industri hiburan terutama seni persembahan seperti nyanyian memang terjejas teruk akibat pandemik. Saya yang terbabit dalam penganjuran acara juga sangat berasakan 'kesempitan' yang berlaku, apalagi bagi pemuzik dan penyanyi sepenuh masa.

"Alhamdulillah, mujur kerajaan peka dan prihatin terhadap nasib warga seni dengan melancarkan Pelan Pemulihan Ekonomi Jangka Pendek (PENJANA), sebagai usaha bersepadu menyokong perkembangan berterusan industri kreatif untuk bangkit semula.

"Menerusi beberapa inisiatif bantuan dalam bentuk pelan pinjaman dan geran disediakan saya cuba memohon dan berurusan dengan pihak MyCreative Ventures yang diselia Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) dan Kementerian Kewangan Malaysia.

"PENJANA yang diurus oleh MyCreative Ventures, memerlukan saya sebagai pemohon menghantar proposal untuk program mahu dianjurkan dan ketika itu saya berusaha mendapat geran bantuan disediakan," katanya.

Menurut Pam, berbekalkan pengalaman yang ada, dia bergabung dengan beberapa orang lain seperti Shahril Razak, pengarah muzik, Datuk Acis dan penerbit konsert, Jennifer Thompson untuk menjayakan konsert penstriman MALAYSIA LIVE!

ZIZI Kirana turut dapat peluang untuk menjayakan persembahan.
ZIZI Kirana turut dapat peluang untuk menjayakan persembahan.

FAIZAL turut buat persembahan pada Konsert MALAYSIA LIVE!
FAIZAL turut buat persembahan pada Konsert MALAYSIA LIVE!

"Hasil usaha keras dilakukan, saya bersama pasukan berjaya mendapatkan bantuan Geran Pemasaran Digital dan Promosi daripada PENJANA. Syukur, ia sangat membantu kami untuk merealisasikan penerbitan konsert MALAYSIA LIVE!

"Bagi penggiat seni yang terjejas, jangan lepaskan peluang memohon pakej bantuan disediakan oleh PENJANA. Dalam situasi masa kini, kita perlu berani mencuba sesuatu yang baru seperti menerbitkan konsert secara penstriman yang boleh ditonton di media sosial dan platform digital," katanya.

Bagi Jennifer pula, kewujudan PENJANA disifatkan muncul pada waktu yang tepat. Katanya, industri hiburan dan kreatif perlu bangkit dan berusaha menghasilkan program lebih pelbagai dan mesra di platform media sosial mahu pun digital.

"Saya sangat berterima kasih dengan MyCreative Ventures dan PENJANA kerana sudah membantu kami, warga seni. Malah, sambutan diterima untuk konsert MALAYSIA LIVE! juga sangat baik dan menggalakkan meski ditonton secara strim.

"Konsert ini lebih dulu, dirakam secara langsung tanpa penonton di KL Live @ Life Centre yang membabitkan pemuzik dan penyanyi tempatan. Konsert ini sudah ditayangkan di YouTube Malaysia pada 22 Januari dan 29 Januari lalu," katanya.

Barisan penyanyi terbabit dalam dua konsert MALAYSIA LIVE! ini berbeza-beza. Antaranya, Aizat Amdan, Dolla, Dayang Nurfaizah, Hael Husaini, Haqiem Rusli, Datuk M Nasir, Faizal Tahir, Ismail Izzani, Ruffedge, Tuju dan Zizi Kirana.

Menerusi PENJANA, terdapat pelan bantuan pinjaman seperti Pinjaman Mikro bagi Usahawan Kreatif, Pinjaman Pengantaraan bagi Penerbit Kandungan Industri Kreatif, Pinjaman Mudah Trek Laju, dan Skim Padanan Pinjaman Pelaburan.

Begitu juga, disediakan bantuan Geran Pemasaran Digital dan Promosi, termasuk Program Halaju Digital yang memberi bentuk nasihat, latihan dan rangkaian agar penggiat industri kreatif dapat menggabungkan dimensi digital dengan lebih baik untuk perniagaan mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 Mei 2021 @ 6:49 AM