DR Mohd Irwan Serigar (tengah) bersama penerima pinjaman MyCreative.
DR Mohd Irwan Serigar (tengah) bersama penerima pinjaman MyCreative.
Oleh Ainul Fatihah Mansor

Putrajaya: MyCreative Ventures Sdn Bhd (MyCreative) mengumumkan 21 syarikat kreatif tempatan memperoleh pinjaman kewangan keseluruhan berjumlah RM40 juta.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Johan Ishak berkata, pinjaman kewangan yang diluluskan itu sejajar dengan objektif penubuhan MyCreative yang menyokong pelaksanaan dasar industri kreatif negara, selain merangsang pertumbuhan industri menerusi skim kewangan strategik serta inovatif dalam bentuk ekuiti, pinjaman atau gabungan keduanya.

Beliau berkata, antara industri yang dikategorikan layak bagi permohonan pinjaman kewangan itu adalah Seni Visual, Seni Persembahan, Muzik, Kesusasteraan, Kandungan Kreatif, Fesyen dan Rekaan serta Seni Tradisional dan Kebudayaan.

“Pinjaman kewangan itu diluluskan berdasarkan kemampanan pelan perniagaan sesebuah syarikat.

“Semua syarikat yang berjaya diteliti menerusi proses ikut prosedur sebelum diluluskan kerana kita berhasrat untuk memastikan pinjaman itu diberikan kepada mereka yang betul-betul bersedia dan layak saja,” katanya pada Majlis Penamaan Penerima Pinjaman atau Pelaburan Perniagaan dari MyCreative di sini, semalam.

Turut hadir, Ketua Setiausaha Perbendaharaan Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah serta Pengerusi MyCreative Datuk Seri Ahmad Farid Ridzuan.

Sejak dilancarkan pada 2012, MyCreative menerima hampir 300 permohonan daripada kelompok kreatif negara.

Menerusi permohonan itu, pemohon yang berminat dikehendaki membentangkan idea perniagaan mereka kepada jawatankuasa yang ditetapkan.

Antara pemohon yang berjaya adalah Fairuz Ramdan yang bergiat dalam bidang fesyen; Vision Animation (kandungan kreatif); KRU Music (muzik); Dubook Press Sdn Bhd (Kesusasteraan); LOL Events (M) Sdn Bhd (Seni Persembahan) dan Core Design Gallery Sdn Bhd (Seni Visual).

Johan berkata, beliau bangga dengan kejayaan syarikat kreatif yang berjaya memperoleh pinjaman kewangan berkenaan.

“Kejayaan mereka melakar nama di persada dunia membuktikan bahawa produk tempatan bertaraf antarabangsa, malah semakin mendapat tempat di kalangan rakyat,” katanya.

Selain permohonan menerusi laman web rasmi www.mycreative.com.my, MyCreative juga aktif mencari pemohon yang berpotensi menerusi inisiatif seperti siri jelajah dan pameran.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Mei 2015 @ 6:15 AM