HAZIZUL dalam klip video lagu Ahlan Ya Ramadan. FOTO Ihsan Hazizul Masdin
HAZIZUL dalam klip video lagu Ahlan Ya Ramadan. FOTO Ihsan Hazizul Masdin
Redzuan Muharam


Shah Alam: Meskipun terikat dengan kerja hakiki, Hazizul Masdin, bilal Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (MSSAAS), di sini, giat menarik kehadiran orang ramai ke masjid dengan pendekatan berbeza, iaitu menerusi lagu nyanyiannya yang berjudul, Ahlan Ya Ramadan.

Hazizul, 38, atau mesra disapa Ustaz Zoul berkata, lirik dan lagu itu adalah ciptaannya sendiri yang mengisahkan mengenai keterujaan menyambut kedatangan Ramadan, bulan paling dinanti oleh umat Islam.

Katanya, mesej lain cuba disampaikan menerusi lagu itu adalah fadilat Ramadan sebagai bulan baik untuk menambah amalan dan merebut pahala, salah satunya dengan mengimarahkan masjid.

"Lagu ini dirakam sebulan sebelum Ramadan dan proses rakaman mengambil masa selama sehari.

"Saya tidak berseorangan sebaliknya dibantu Daqmie sebagai penerbit, Alfa Booty yang membuat susunan muzik dan Azmi Jamsari (Saudagar Seni) selaku individu bertanggungjawab menguruskan bahagian edaran.

"Bagi menyesuaikan dengan mood lagu ini, kita adakan penggambaran muzik video antaranya di perkarangan masjid, rumah dan Pantai Klebang, Melaka untuk menampakkan seperti berada di tengah padang pasir," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

HAZIZUL hanya mengambil masa sehari untuk merakam lagi dihasilkannya. FOTO Ihsan Hazizul Masdin
HAZIZUL hanya mengambil masa sehari untuk merakam lagi dihasilkannya. FOTO Ihsan Hazizul Masdin

Menurut Hazizul, muzik video lagu berkenaan sudah dimuat naik di Youtube dua minggu lalu dan meraih lebih 1,200 tontonan setakat ini.

Selain itu, Hazizul berkata, lagu berkenaan juga menjadi pilihan untuk diputarkan di stesen radio Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan swasta.

"Alhamdulillah, syukur kerana hasil kerja saya diterima baik oleh pendengar dan penonton muzik video yang rata-ratanya komen positif terhadap lagu berkenaan.

"Selain berdakwah menerusi lagu, niat saya adalah untuk mengubah persepsi segelintir masyarakat terhadap bilal yang mungkin dianggap hanya terikat dengan tugasan di masjid.

"Sedangkan, ada beberapa usaha dilakukan untuk berdakwah, salah satunya menerusi penghasilan lagu ini," katanya.

Hazizul berharap lagu ciptaannya itu akan terus diterima oleh semua lapisan masyarakat.

"Terima kasih kepada semua yang sudah mendengar dan memberi sokongan terhadap karya saya ini

"Tidak ketinggalan kepada pengurusan masjid dan keluarga yang memberi galakan sejak awal hingga kini," katanya.

HAZIZUL ketika pembikinan muzik video. FOTO Ihsan Hazizul Masdin
HAZIZUL ketika pembikinan muzik video. FOTO Ihsan Hazizul Masdin

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 April 2021 @ 8:50 PM