SEDUTAN filem 18 Puasa di Kampong Pisang.
SEDUTAN filem 18 Puasa di Kampong Pisang.
Norhayati Nordin


Kuala Lumpur: Filem 18 Puasa Di Kampong Pisang terus mencatat kutipan 'pecah panggung' memberangsangkan sebanyak  RM3 juta selepas 10 hari ditayangkan di Astro First (saluran 480).

Diarahkan sutradara berkaliber, Mamat Khalid, dengan pencapaian kutipan makin meningkat turut melayakkan karya komedi itu mencatat rekod sebagai filem tempatan paling laris di Astro First bagi tahun 2021. 

"Alhamdulillah, meskipun tayangan filem ini sesuai dengan bulan Ramadan, namun dalam era norma baharu yang aktiviti menonton filem kini di rumah, ternyata sambutan diterima sangat positif daripada penonton.

"Saya tak sangka, jumlah kutipan berjaya dicatat makin meningkat dan dalam tempoh 10 hari filem 18 Puasa Di Kampung Pisang sudah meraih RM3 juta.

"Terima kasih kepada semua penonton yang menerima baik filem ini, terutama pada 'peminat' Barkoba sebagai ikon geng plastik hitam yang tak puasa dan menikmati makanan di siang hari dalam semak samun," katanya.

18 Puasa di Kampong Pisang meraih RM3 juta selepas 10 hari tayangan.
18 Puasa di Kampong Pisang meraih RM3 juta selepas 10 hari tayangan.

Menurut Mamat, dia juga yakin filem ini berjaya menambat hati penonton kerana sarat dengan mesej pengajaran untuk menjadi iktibar kepada semua orang. Malah, mana yang baik diikut dan sebaliknya pula jadikan sempadan.

Filem 18 Puasa Di Kampong Pisang mula ditayangkan Astro First sejak 15 April lalu mengisahkan Barkoba yang 'seronok' tak puasa di bulan Ramadan akhirnya berhadapan insiden didatangi iblis dan membawanya kembali ke masa silam.

Menerusi perjalanan itu, Barkoba mengimbau setiap tindak tanduk kesalahannya yang dilakukan sepanjang hidup. Dia mengabaikan zakat, menganaiyai orang lain, mengajak melakukan kemungkaran serta menyebabkan kecederaan dan kematian Kiambang. 

Justeru, apa yang selanjutnya berlaku pada Barkoba ada dalam kisah filem ini. Bagi barisan pelakon pula, ia dibintangi oleh Bell Ngasri, Namron, Jaafar Onn, Siti Elizad, Kazar Saisi, Mat London, Joey Daud dan ramai lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 April 2021 @ 8:48 PM