Filem 18 Puasa Di Kampong Pisang raih RM1 juta.
Filem 18 Puasa Di Kampong Pisang raih RM1 juta.
Oleh Georgie Joseph


Kuala Lumpur: Filem 18 Puasa Di Kampong Pisang arahan Mamat Khalid meraih kutipan RM1 juta hanya dalam tempoh tiga hari tayangannya.

Mamat berkata, dia bersyukur filem terbabit menerima sambutan hebat dan mengakui mesej positif disampaikan berjaya menyentuh hati penonton.

"Alhamdulillah filem ini mendapat sambutan memberangsangkan daripada penonton. Saya harap filem ini bukan sahaja mampu memberi hiburan semata-mata.

"Tetapi turut memberi pengajaran serta mengingatkan kita mengenai kesan baik dan buruk daripada kelakuan kita," katanya.

 

Menurut Naib Presiden, Ketua Astro Shaw & Nusantara, Raja Jastina Raja Arshad, selaku penyiar mereka yakin filem itu memiliki kekuatan tersendiri.

"Kami yakin ramai menantikan kehadiran filem ini. Apabila watak Barkoba tular di media sosial, ia membuktikan karakter itu sangat kuat dan sinonim dengan penonton ketika bulan Ramadan.

"Di media sosial juga menyaksikan rata-rata penonton serta pengkritik filem bebas berkongsi respon positif mengenai filem ini.

"Kami berharap kejayaan ini akan menjadi permulaan yang baik untuk filem ini terus mendapat sokongan daripada penonton di luar sana," katanya.

Filem 18 Puasa Di Kampong Pisang mengisahkan sekumpulan penduduk Kampong Pisang masih melakukan kemungkaran di bulan Ramadan. Ketika Barkoba menikmati makanan di siang hari dalam semak samun, tiba-tiba berlaku satu insiden.

Dia didatangi iblis dan membawanya kembali ke masa silam untuk mengimbau setiap tindak tanduk kesalahan yang dilakukan sepanjang hidupnya.

Terdahulu, watak Barkoba lakonan Bell Ngasri juga dilihat tular menjadi 'meme' di media sosial sewaktu bermula Ramadan berikutan karakternya yang tidak berpuasa dan dikaitkan dengan geng 'beg hitam'.

Sehubungan itu, filem18 Puasa Di Kampong Pisang ditayangkan bermula 15 April lalu di platfrom Astro First, saluran 480.

 

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 April 2021 @ 3:51 PM