Dua Lipa
Dua Lipa
Agensi

Mexico City: Penyanyi Dua Lipa, 25, berdepan saat mencemaskan apabila dua peminat fanatik hampir menerpanya sewaktu keluar dari sebuah bangunan, di sini, semalam.

Dalam sebuah video tersebar, Dua dilihat berjalan ke kereta yang sedang menunggunya. Secara tiba-tiba, dua lelaki meluru laju ke arahnya menyebabkan penyanyi itu terkejut ketakutan.

Insiden itu jelas mengejutkan semua, termasuk pengawal peribadi yang melindunginya. Bagaimanapun, pengawal berkenaan pantas menepis peminat  itu daripada mendekati Dua.

Raut wajah penyanyi Don't Start Now itu serta-merta bertukar dan kelihatan agak tertekan. Dia juga dilihat segera memasuki kereta sebelum sempat diapa-apakan peminat fanatik berkenaan.

Kedatangan Dua ke negara ini dikhabarkan bagi menjalani penggambaran kempen sebuah jenama kecantikan terkemuka. Justeru, berita keberadaannya itu mengujakan peminat.

Sewaktu insiden, penyanyi itu mencuri perhatian orang ramai yang kebetulan berada di lokasi. Perkumpulan berkenaan bagaimanapun, tidak dapat dipastikan sama ada sengaja datang untuk bertemunya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 Mac 2021 @ 1:21 PM