ERNIE dan Syamel
ERNIE dan Syamel
Norhayati Nordin


Kuala Lumpur: Penyanyi lagu Gundah, Ernie Zakri, 29, akan mengumumkan tarikh perkahwinannya bersama tunang yang juga penyanyi Syamel tidak lama lagi.

Ia berikutan khabar angin semakin kencang mengatakan pasangan itu akan melangsungkan pernikahan pada 26 Mac ini.

"Kami akan umumkan tak lama lagi. Bukan kami sengaja nak sorok atau apa, tapi sebab banyak lagi perkara yang kami perlu selesaikan sebelum majlis perkahwinan," katanya kepada Harian Metro.

Dalam pada itu, ditanya mengenai cadangan netizen di media sosial yang mahu dia menyanyikan lagu ciptaan penyanyi dan komposer popular, Hael Husaini selepas ini, Ernie sangat bersetuju.

"Sebenarnya saya sangat bersetuju cadangan mereka supaya Hael menjadi komposer lagu saya selepas ini. Ini kerana memang niat di hati pun teringin nak bekerjasama dengannya.

"Namun, kadang-kadang apa yang kita rancang, belum tentu menjadi. Sebagaimana yang saya tahu, saya lebih mencari kepada lagu-lagu berkualiti dan sudah tentu Hael adalah seorang komposer yang boleh menghasilkan lagu-lagu seperti itu. Insya-Allah, jika kena tepat pada tarikhnya, tepat pada masa dan perancangannya, saya akan bekerjasama juga dengan Hael nanti," katanya.

Apa yang pasti, bakat nyanyian Ernie sudah diyakini ramai terutama kemampuannya menyanyi secara 'live' yang tidak pernah menghampakan.

Kebanyakan netizen menyifatkan Ernie adalah antara penyanyi wanita yang layak menyanyikan karya lagu Hael yang mempunyai notasi tinggi mencabar vokal serta ada teknik nyanyian tersendiri.

Netizen juga beranggapan Ernie mampu mengungguli takhta juara jika menyanyikan lagu Hael.

Ernie juga sudah membuktikan kemampuannya dengan memenangi Vokal Terbaik di pentas Anugerah Juara Lagu ke-35 (AJL35), Ahad lalu.

Sementara itu, ditanya mengenai pakaiannya di AJL35 yang disamakan dengan tempayan oleh netizen, Ernie tidak boleh berkata apa-apa kerana mereka tidak tahu cerita di sebalik pakaian itu.

"Kebiasaannya orang tak akan pakaian seperti itu pada hari-hari biasa. Jadi, semestinya banyak persoalan timbul di fikiran netizen seperti kenapa baju itu bentuk begitu dan sebagainya.

"Pada saya, ia tak perlu dijadikan isu dan komen apa-apa sebab masing-masing ada pendapat. Tetapi, ada kisah di sebalik baju itu, yang mana saya tahu semua orang boleh baca penjelasannya di Instagram saya dan pereka fesyen terbabit," katanya.

Menurut Ernie lagi, apa yang pasti menarik pada rekaan dihasilkan kerana baju itu penuh dengan 'kenangan' sebagai 'tribute' daripadanya buat Allahyarham nenek berikutan lagu Gundah juga diilhamkan dari kisah cinta arwah nenek dan datuknya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Mac 2021 @ 4:31 PM