Sudirman Mohd Tahir

Kuala Lumpur: Pandemik Covid-19 yang melanda negara sepanjang tahun lalu tidak menghalang peniaga yang menjual produk Wawa Cosmetics mencatat jualan mencecah jutaan ringgit.

Atas inisiatif itu, pengasasnya yang juga pelakon, Wawa Zainal menerusi Wawa Cosmetics mengadakan Top Achievers & Gala Dinner Award bagi diberikan kepada mereka yang berjaya mencapai jualan tertinggi sepanjang tahun lalu.

Lebih menarik, Wawa, 29, atau nama sebenarnya Nur Hawa Zainal Abidin turut menghadiahkan percutian ke Eropah kepada lapan peniaga terbaik yang dianggarkan lebih RM100,000.

Wawa berkata, acara dan hadiah diberikan adalah cara dia dan suami menghargai penat lelah mereka sekali gus membantu perniagaan kami.

"Kami adakan acara anugerah ini memang untuk hargai mereka. Bagi saya dan Aeril, acara sebegini sudah biasa, tapi pada mereka apabila ambil gambar, berjalan di karpet merah dan melaram dengan busana masing-masing, ia bukan selalu mereka buat. Jadi, kami hargai mereka dengan memberikan sijil, trofi, dan hadiah percutian sebagai bukti yang mana ini hasil titik peluh mereka. Jadi, mereka boleh tahu untuk dapatkan anugerah bukan senang. Sebab mereka juga kena bersaing dengan peniaga lain.

"Lapan hadiah ke Eropah termasuk bersama pasangan masing-masing, kami berhabis dalam ratusan ribu ringgit juga. Malah, sebelum ini kami bawa mereka berbelanja di kedai jenama mewah dan bagi mereka pilih beg tangan disukai. Baru-baru ini pun ada bagi hadiah ke Eropah juga. Mereka ini suka berjalan dan melancong. Walaupun belum boleh pergi, tapi bagi hadiah awal.

"Kami hargai mereka dengan cara sebegini. Jadi kami sanggup berhabis untuk mereka. Kami pernah ada di situasi mereka apabila dapat penghargaan kita akan buat terbaik. Saya harap apa kami buat ini, akan menambah baik lagi prestasi mereka," katanya.

Pada majlis itu, Nur Adila Saidi diumumkan sebagai Top 1 dengan nilai 'restock' RM3.3 juta sepanjang tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 Mac 2021 @ 6:22 PM