FOTO berlatar belakangkan rumah baru mereka yang dimuat naik Aeril Zafrel di Instagram. FOTO Instagram Aeril Zafrel
FOTO berlatar belakangkan rumah baru mereka yang dimuat naik Aeril Zafrel di Instagram. FOTO Instagram Aeril Zafrel
Sudirman Mohd Tahir


“DARIPADA berhabis untuk kereta, lebih baik saya berbelanja untuk keluarga demi kebahagiaan mereka,” kata pelakon Aeril Zafrel yang bakal berpindah ke rumah baru yang dianggarkan bernilai RM2 juta.

Aeril, 30, atau nama sebenarnya Suhairil Sunar berkata, keputusan berpindah ke rumah baru kerana ingin memberi keselesaan buat isteri, anak-anak dan keluarga mentua.

Menurut Aeril, ia juga hadiah buat isteri tercinta yang juga pelakon, Wawa Zainal atas pengorbanan diberikan sepanjang enam tahun berkahwin.

“Alhamdulillah, ini adalah rezeki. Lagi pula, sudah lama saya memasang niat untuk berpindah ke rumah yang lebih selesa terutama selepas ahli keluarga bertambah.

“Selain saya sekeluarga, mentua dan adik ipar juga tinggal dengan kami. Jadi, tak salah kalau saya sediakan mereka tempat tinggal yang lebih baik.

“Ini juga tanda kasih dan sayang saya kepada isteri. Semoga apa yang dibuat ini menambahkan lagi kebahagiaan kami. Saya percaya, kalau kita berbuat baik untuk orang tersayang dan sekeliling, rezeki lebih murah,” katanya kepada Harian Metro.

Selain menyediakan rumah, Aeril juga memberi kejutan buat Wawa dengan membuat pengubahsuaian keseluruhan rumah.

“Rumah ini dibeli tahun lalu. Dapat saja kunci saya terus buat pengubahsuaian. Saya turut menggunakan khidmat pereka hiasan dalaman untuk dekorasi rumah.

“Selepas semua siap, baru saya bawa Wawa datang tengok. Memang saya rancang dari awal lagi. Kalau boleh, biar semuanya siap dulu.

“Bagi saya, rumah adalah tempat terbaik untuk berehat. Jadi, tak salah jika berhabis untuk sesuatu yang bermanfaat sekali gus memberi keselesaan buat semua orang,” katanya yang dijangka berpindah masuk ke rumah itu bulan depan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 November 2018 @ 11:07 AM