GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
Ridzuan Abdul Rahman

Kuala Lumpur: Prosedur operasi standard (SOP) untuk penggambaran di luar (outdoor) sedang diperincikan dan akan dibentangkan kerajaan dalam masa terdekat ini.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, pihaknya juga sedang memperincikan SOP penganjuran acara langsung dan tayangan di pawagam.

"Majlis Keselamatan Negara (MKN) memaklumkan menerima SOP untuk industri kreatif yang ditambah baik dengan mengambil kira cadangan dan pandangan yang dikemukakan pemain dan penggiat industri kreatif kepada kerajaan melalui KKMM.

"SOP yang ditambahbaik ini akan terpakai dalam tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Bagi sektor industri kreatif, kerajaan sudah membenarkan operasi produksi animasi dan muzik, pasca-produksi di studio, pembangunan muzik secara digital, rakaman lagu di studio, pra-produksi penggambaran dan aktiviti penggambaran tanpa penonton mulai esok," katanya.

Menurutnya, perincian SOP ini boleh didapati di laman web MKN (www.mkn.gov.my) dan KKMM (www.kkmm.gov.my).

Bagi tujuan ini, syarikat produksi perlu memohon kelulusan Sijil Perakuan Penggambaran Filem Khas (SPP Khas) untuk kebenaran aktiviti penggambaran dalam studio tanpa penonton daripada Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) melalui pautan www.finas.gov.my/english-permohonan-sijil-perakuan-penggambaran-filem-kh....

"Saringan ujian Covid-19 perlu dilakukan bagi semua tenaga produksi yang terbabit dan keputusan ujian perlu dikemukakan kepada Finas tiga hari sebelum tarikh penggambaran. Pemantauan berkala juga akan dilaksanakan di lokasi penggambaran oleh penguatkuasa Finas bagi memastikan pematuhan SOP tidak dikompromi," katanya.

"KKMM berharap agar penambahbaikan kepada SOP industri kreatif akan dapat membantu penggiat bidang ini untuk terus berkarya demi kelangsungan sumber pendapatan masing-masing," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Februari 2021 @ 10:11 PM