Zarina Anjoulie. FOTO AZIAH AZMEE
Zarina Anjoulie. FOTO AZIAH AZMEE
Syafil Syazwan Jefri


Kuala Lumpur: Pelakon, Zarina Anjoulie Lavocah membuat keputusan untuk melakukan prosedur 'liposuction' atau sedut lemak selepas melihat bentuk badannya yang dirasakan terlalu besar ketika menonton semula filem terbaru lakonannya iaitu Hantu Kuat Ketawa.

Zarina Anjoulie atau mesra disapa Anju ketika ditemui di sidang media pelancaran filem Hantu Kuat Ketawa, hari ini berkata, keputusan itu diambil untuk kebaikan dirinya sebagai individu dalam menjaga bentuk badan dan kesihatan.

"Sebenarnya, ketika penggambaran filem itu berlangsung, saya rasa penat kerana badan saya agak gemuk ketika itu.

"Saya tengok semula lakonan saya dalam monitor dan saya lihat bentuk badan saya terlalu gemuk. Jadi, baru-baru ini saya buat keputusan untuk menjalani prosedur sedut lemak," katanya kepada Harian Metro.

Menurut Anju, ini adalah kali kedua dia menjalani prosedur itu dan ia hanya dilakukan di beberapa bahagian badan yang perlu saja.

"Ini adalah kali kedua dan semuanya ditaja. Kali pertama saya melakukan prosedur ini tahun lalu. Saya buat di beberapa bahagian tertentu di badan saya antaranya perut dan lengan. Kesannya memang dapat dilihat lebih-lebih lagi bentuk muka saya yang kini menyusut," katanya.

Ditanya mengenai punca bentuk badannya naik mendadak, Anju berkata, sebelum ini dia kurang memberi perhatian kepada penjagaan makanan terutama selepas berumah tangga.

"Ketika saya berkahwin, saya ada teman untuk makan. Jadi, bila keluar berjalan akan makan. Selepas bercerai, saya nekad untuk tidak menjadi seperti sebelum ini.

"Sekarang, saya cuba kawal pemakanan saya semula dan ada mengambil makanan tambahan untuk kesihatan (supplement)," katanya.

Anju berkata, berat badannya pernah mencecah 98 kilogram (kg) selepas melahirkan anak dan kini dia menikmati berat badan 67 kg.

Selain Anju, turut berlakon dalam filem komedi seram Hantu Kuat Ketawa ialah Saiful Apek, Along Cham dan Syanie Hisham.

Hantu Kuat Ketawa akan mula ditayangkan di platform Astro First bermula 27 Januari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 January 2022 @ 10:54 PM