PERSEMBAHAN Nadeera dan Khareez.
PERSEMBAHAN Nadeera dan Khareez.
Najiy Jefri

MEKSIPUN terpaksa disiarkan secara normal baharu susulan pandemik Covid-19, program Lagu Cinta Kita musim kedua (LCK2) terbitan TV3, mencatatkan hampir empat juta tontonan saban minggu dan trending setiap kali disiarkan.

Apa yang menarik, sejak menemui penonton 8 November lalu, episod keenam LCK2 Ahad lalu, memecah rekod apabila menarik 3.84 juta penonton dan trending di Twitter.

Bakal melabuhkan tirai dua minggu saja lagi, LCK2 yang juga program mencari jodoh sambil mengasah bakat menyanyi, terus konsisten dengan rating penonton dan pengisian penuh kejutan.

LCK2 turut dianggap sebagai program realiti yang sukses dengan pelbagai elemen termasuk kuasa tarikan, ketika industri penerbitan bangkit dalam berdepan Covid-19.

Penerbit Eksekutif LCK2, Muhammad Sufian Che Isa, berkata, produksi tidak pernah merancang gimik dalam setiap episod LCK2 sehingga trending.

"Setiap perkara yang muncul trending dalam LCK2 tidak pernah dirancang. Namun, kami tidak menafikan, ketika dipertanggungjawab menerbitkan program ini, ia memberikan tekanan kepada kami untuk memastikan program itu mampu menyaingi program realiti sedia ada," katanya.

PENGACARA LCK2, Elly Mazlein dan Azwan Ali.
PENGACARA LCK2, Elly Mazlein dan Azwan Ali.

Menurut Sufian, pihaknya mengakui tanggungjawab menerbitkan program terbabit tidak mudah biarpun diadaptasi daripada program CJ ENM, Love At First Song.

Tambahan pula, LCK2 terpaksa bersaing dengan program realiti stesen TV lain yang sudah kukuh jenamanya dan menemui penonton pada waktu kemuncak pukul 9 malam, setiap Ahad.

"Dalam menerbitkan LCK2, kami tidak boleh mengubah format nyanyian. Ini kerana ia diadaptasi daripada program hiburan Korea Selatan.

"Jadi, apa yang boleh dilakukan adalah menambah intipati rancangan agar menarik. Ketika sesi sumbang saran antara Primework Studios dan Media Prima Omnia kami 'pecah kepala' memikirkan bagaimana LCK2 boleh jadi 'trending'.

"Ini kerana format tidak boleh ditukar secara sesuka hati. Kami cuba mantapkan dengan pemilihan hos yang tepat dan juri yang sesuai," katanya.

Menggandingkan dua pengacara pengalaman, Azwan Ali serta Elly Mazlein dilihat satu keputusan yang tepat dan berbaloi.

Gandingan mereka menjadi bahan bualan ramai hingga LCK2 menjadi perhatian dan tarikan saban minggu.

Tidak hanya itu, pemilihan Mas Idayu, Ajai dan Hael Husaini turut tidak mengecewakan malah menjadi faktor menarik penonton apatah lagi dengan 'drama' dicetuskan mereka di set.

HAEL memberikan komen.
HAEL memberikan komen.

"Ketika membuat pemilihan juri, kami lihat faktor kesesuaian juri untuk ditampilkan. Kami mahukan juri yang bersahaja. Apa sahaja komen mereka lontarkan adalah jujur dan tidak dibuat-buat.

"Atas sebab itu, kami memilih Mas Idayu kerana beliau sering tampil dengan komen yang tidak berlapik. Kami tahu ia boleh menjadi tarikan untuk penonton terus melekat dengan program itu.

"Ajai pula tidak memberikan komen kosong. Dia berilmu manakala Hael pula bertindak sebagai pelindung," katanya.

Bagi minggu separuh akhir dan pentas akhir, katanya, produksi tidak merangka sebarang gimik sebaliknya elemen spontan yang diharap viral.

Lapan pasangan yang berjaya mara ke peringkat separuh akhir ialah Syafiq & Serra, Fariqwan & Mina, Kael & Evie dan Adly & Darlin. Turut bersaing Iss & Mya, Amir & Balqis, Khareez & Nadeera dan Hafiz & Mafa.

Pada musim pertama, Lagu Cinta Kita menobatkan Naqi Nasri dan Nur Ayuni Sapuan sebagai juara. Keserasian yang wujud antara sekali gus membibitkan perasaan cinta sehingga ke jenjang pelamin pada 25 Julai lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 Disember 2020 @ 6:31 AM