Hafreez Adam ketika Tayangan Perdana Program Ramadan Astro 2024 di M Resort and Hotel, Bukit Kiara. FOTO AZIAH AZMEE
Hafreez Adam ketika Tayangan Perdana Program Ramadan Astro 2024 di M Resort and Hotel, Bukit Kiara. FOTO AZIAH AZMEE
Zaara Talita


Kuala Lumpur: Selepas mencapai persetujuan memutuskan tali pertunangan pada November 2019, pelakon Hafreez Adam dan Zara Zya buat pertama kali dipertemukan pada majlis di sini semalam.

Menurut Hafreez, mereka tiada masalah memandangkan ikatan pertunangan itu diputuskan secara baik.

Malah, tidak timbul rasa kekok memandangkan industri seni kecil dan berpotensi untuk bertembung bila-bila masa.

"Apa yang boleh saya katakan, kami masih bertegur dan hubungan kami okay saja. Tidak ada sebarang masalah atau apa-apa. Macam saya pernah cakap sebelum ini, kami berpisah pun cara baik.

"Sebenarnya ini kali pertama saya jumpa dia selepas sekian lama. Tapi kita tahu benda ini akan terjadi. Kami tak ada masalah untuk bertegur sapa.

"Malah tiada masalah untuk bekerjasama. Ikutkan ada saja bertegur, cuma berjumpa… ini kali pertama. Tak ada rasa kekok… walaupun selepas kejadian itu (putus pertunangan), kami bawa haluan masing-masing.

"Memang perpisahan secara baik. Kita memang tutup buku itu. Kita ada minta maaf dan doakan yang terbaik untuk satu sama lain," katanya.

Sementara itu, Zara yang turut ditemui pada majlis yang sama juga menjelaskan tiada sebab untuk bermusuhan dengan bekas tunangnya memandangkan mereka bekerja dalam satu industri.

"Alhamdulillah, okay saja. Mungkin sebelum ini tak bertemu sebab masing-masing tak ada di tempat kejadian. Hari ini bertemu, sebab dua-dua ada. Kami pun profesional, boleh saja bertegur. 'Past is past'.

"Masing-masing pun ada hala tuju sendiri. Bagi saya sendiri tak ada masalah sebab kita dalam satu industri. Saya pun buat apa nak ada masalah dengan dia," katanya.

Terdahulu, dua pelakon itu mula berkawan sejak terbabit dalam drama Mona Lisa sekitar tahun 2017 sebelum mengikat tali pertunangan pada 12 Oktober 2019.

Namun, selepas sebulan, Hafreez mengesahkan hubungannya dengan Zara sudah berakhir sejak November 2019 tanpa memberi penjelasan lanjut mengenai perpisahan mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 Mac 2024 @ 2:57 PM