AMAN bersama MK K-Clique.
AMAN bersama MK K-Clique.
Syafil Syazwan Jefri


KEMUNCULAN pandemik Covid-19 menjejaskan banyak sektor dan salah satu yang paling terkesan adalah, industri seni hiburan tanah air.

Kerana itu, pelakon yang kini bergelar penerbit, Aman Nassim hadir dengan platform terbaharu untuk membantu menyemarakkan semula industri hiburan dengan mengikut suasana norma baharu.

Tampil dengan program Saturday Night Show yang dipancarkan secara langsung di saluran YouTube COF Music, Aman berkata, platform itu memberi ruang buat anak seni untuk kembali beraksi dan menghiburkan penonton.

"Sebelum ini, artis berkenaan membuat persembahan di pentas gig dan pelbagai acara persembahan. Namun akibat Covid-19, kerajaan mengeluarkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan kini kebanyakan negeri berada di bawah perintah PKP Bersyarat (PKPB).

"Secara tak langsung, ramai yang kehilangan mata pencarian dan hilang tempat untuk membuat persembahan kerana faktor keselamatan," katanya.

Menampilkan nama besar antaranya Zizi Kirana, MK K-Clique, Kidd Santhe, Yonnyboii, Joe Flizzow, artis 'underground' seperti Danye, Jazz, Da'Soul Jahh, Sniper Sosa dan ramai lagi, Aman mengakui bersyukur kerana mendapat sokongan padu daripada mereka.

SONAONE antara artis yang turut buat persembahan.
SONAONE antara artis yang turut buat persembahan.

"Mereka memberi sokongan yang sangat baik, terutama artis popular yang melihat program ini sebagai platform alternatif buat peminat berhibur di hujung minggu. Selain dapat ketengahkan artis pelapis tempatan," katanya.

Walaupun tidak berlangsung dalam skala besar, Aman berkata, pihaknya masih mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

"Antara perkara yang perlu diberi perhatian adalah dari aspek teknikal kerana pihak produksi perlu menggunakan penstriman secara langsung dan mengikut SOP seperti bilangan pekerja bertugas yang terhad, pemakaian pelitup muka serta tiada penonton," katanya.

Tidak hanya mengetengahkan muzik hip hop, Saturday Night Show juga bakal meluaskan skop muzik di platform mereka dari masa ke semasa.

"Selain ketengahkan genre hip hop, Saturday Nite Show akan membuka ruang kepada genre lain pula selepas ini. Mungkin ada pihak beranggapan ia hanya pentas kecil, tapi kalau tiada pentas seperti ini, bagaimana artis pelapis dapat berkembang?", katanya.

Saturday Nite Show yang turut menampilkan pengacara dan penyampai radio, Hanif Hamzah dan joki muzik, DJ Kiddo, distrim secara langsung sebanyak lima episod bermula 5 Disember lalu, setiap malam Sabtu di saluran Youtube COF Music.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 Disember 2020 @ 6:44 AM