Nuha ketika menyanyi 'battle' dengan Tomok.
Nuha ketika menyanyi 'battle' dengan Tomok.
Syafil Syazwan Jefri


Kuala Lumpur: Peserta kategori Rookie dalam program Vokal Mania, Nuha Bahrin yang terpalit kontroversi selepas dikecam sebagai 'perosak' lagu Kekasih Awal dan Akhir nyanyian asal Datuk Jamal Abdillah menganggap apa yang berlaku sebagai pengajaran buat dirinya.

Menurutnya, lagu pilihan produksi itu adalah cabaran besar buatnya dan dia juga menerima semua komen-komen yang dilemparkan terhadapnya dengan hati terbuka.

"Lagu ini adalah pilihan dan keputusan daripada pihak produksi.  Jadi, saya sahut cabaran itu. Namun, jelas sekali percubaan saya gagal dan saya tahu, ramai yang menulis komen-komen negatif.

"Saya faham apabila mereka merasakan bahawa saya 'merosakkan' lagu itu. Tapi, saya akan cuba lakukan yang terbaik selepas ini dan saya harap, semua dapat terus memberikan sokongan," katanya.

Tambah penyanyi yang pernah menerima pujian daripada penyanyi antarabangsa, Christina Aguilera itu lagi, dia juga menerima komen serta keputusan daripada juri tetap, Yusry Abdul Halim dan Misha Omar dengan hati terbuka.

"Kemenangan untuk pusingan 'battle' berpihak kepada Tomok dan saya rasa, dia sememangnya layak. Keputusan juri adalah tepat dan saya akan mengambil berat setiap komen yang diberikan mereka.

"Mungkin berlaku kesilapan di pihak saya kerana ini adalah kali pertama muncul di kaca TV untuk program secara langsung. Ditambah pula, banyak tekanan yang saya letakkan ke atas diri hingga membuatkan persembahan saya tidak cemerlang.

"Namun, saya bersyukur kerana sokongan daripada keluarga, kawan-kawan dan penyokong saya melayakkan saya memegang Rookie Star Award untuk minggu ini. Alhamdulillah," katanya.

Semalam, Nuha tampil menyampaikan dua lagu iaitu Kekasih Awal dan Akhir untuk persembahan solo dan Di Matamu untuk pusingan 'battle' bersama Tomok.

Program Vokal Mania disiarkan di TV3 setiap Sabtu, jam 9 malam dan diacarakan oleh gandingan Datuk AC Mizal serta Azira Shafinaz.

 

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 November 2020 @ 5:58 PM